Program vaksin : TNB mohon kerjasama semua | DagangNews Skip to main content

Program vaksin : TNB mohon kerjasama semua

 

 

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memerlukan kerjasama orang ramai termasuk para kontraktor yang melakukan kerja-kerja pengorekan, agar berusaha mengelak sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan elektrik sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

 

Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB, Mohd Yusof Ibrahim menyeru kepada semua para kontraktor untuk bersama memainkan peranan dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab sebelum melakukan kerja-kerja pengorekan.

 

Tahun lalu, terdapat 459 kes kerosakan akibat pengorekan pihak ketiga dilaporkan dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 118 kes yang menjejaskan 141,000 pengguna. 

 

Kuala Lumpur pula mencatatkan 108 kes (melibatkan 94,000 pengguna), diikuti Pahang dengan 43 kes (55,000 pengguna).

 

Mohd. Yusof juga mengulangi saranannya kepada pihak kontraktor yang melakukan kerja-kerja pengorekan untuk menyemak dengan TNB sebelum memulakan kerja agar gangguan bekalan elektrik dapat dielakkan.

 

“Kegiatan mengusik dan mencuri pepasangan TNB boleh menyebabkan percikan arka dan seterusnya gangguan bekalan elektrik.

 

“Bermain layang-layang dan drone berhampiran talian TNB serta membawa galah dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian TNB juga mengundang risiko yang sama,” jelas beliau merujuk kepada risiko yang boleh menyebabkan gangguan bekalan.

 

Orang ramai diminta memaklumkan segera kepada TNB CareLine 15454 atau menghubungi pihak polis apabila ternampak pihak mencurigakan yang menceroboh pepasangan TNB seperti pencawang dan menara talian.

 

Peringatan ini adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga demi menjamin keselamatan vaksin COVID-19 berikutan Malaysia mula menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari. 

 

Ia akan disusuli dengan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari ini.

 

Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

 

TNB sebelum ini telah memaklumkan pihaknya akan memastikan bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan stabil sepanjang pelaksanaan program imunisasi.

 

Mohd Yusof menegaskan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah agenda penting negara untuk melawan virus yang hampir setahun merencatkan pelbagai aspek kehidupan. - DagangNews.com