Skip to main content

Projek 8 Conlay: Akhirnya GDB mengakui sudah keluarkan notis gantung kerja

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

SELEPAS beberapa ketika desas-desus menular, baharulah syarikat pembinaan GDB Holdings Bhd mengakui dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia bahawa projek menara 8 Conlay bernilai RM5.4 bilion telah digantung kerja dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia pada 29 Ogos lalu.

 

8 Conlay merupakan projek pembangunan mewah yang akan menempatkan hotel mewah lima bintang, The Kempinski Hotel Kuala Lumpur (Menara C), platform runcit gaya hidup, dan dua menara kediaman berjenama (Menara A dan Menara B), yang direka sebagai menara berkembar `berpintal’ tertinggi di dunia. Kediaman berjenama dikenali sebagai YOO8 akan dikendali oleh Kempinski.

 

Jika anda masih ingat, semasa pembinaan masih berlangsung, tersebar gambar kononnya sebuah daripada menara bangunan ini `sedang runtuh'. Yang sebetulnya, bangunan ini dibina dengan reka bentuk beralun (lihat gambar di bawah):

 

 

8 Conlay

 

 

Cerita GDB mengambil tindakan menangguhkan kerja permintaan itu pada asalnya didedahkan oleh The Edge Markets yang melaporkan pemakluman secara bertulis telah dikeluarkan kepada subkontraktor projek dalam surat bertarikh 16 Ogos 2022.

 

Ketika itu, berita tersebut dilaporkan disahkan oleh jurucakap, namun tiada butiran lanjut diberikan.

 

Selain itu, ini bukan satu-satunya halangan yang diketahui 8 Conlay alami. Julai lalu, The Edge Markets juga melaporkan bahawa pemaju 8 Conlay iaitu KSK Land menghadapi masalah kewangan. Bagaimanapun, kumpulan itu menyangkal khabar angin itu dan menjelaskan bahawa mereka tidak "terlepas atau ingkar membayar balik pinjaman".

 

Berita itu telah dipadam oleh The Edge Markets. Di laman web GDBSB, 8 Conlay masih didaftarkan sebagai salah satu projek mereka dan dijangka siap menjelang 2023. Tiada berita lanjut mengenai projek itu sejak itu.

 

Dengan kontrak bernilai kira-kira RM1.25 bilion, pembangunan 8 Conlay adalah projek tunggal terbesar yang pernah dilaksanakan oleh GDB.

 

Sewaktu GDB dianugerahkan projek itu pada November 2020, ia telah dilantik sebagai kontraktor utama projek untuk menyiapkan baki kerja-kerja pembinaan utama untuk 8 Conlay. Tempoh keseluruhan kontrak adalah selama 32 bulan dan ia dijangka siap pada 22 September 2023.

 

KSK Land Sdn Bhd turut mengeluarkan kenyataan media bagi menepis khabar dalam pasaran bahawa projek itu menghadapi penggantungan kerja.

 

8 Conlay

 

Maka pada 29 Ogos 2022, akhirnya GDB mengesahkan telah mengemukakan notis penggantungan bagi projek 8 Conlay kepada Damai City Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh KSK Land Sdn. Bhd. pada 16 Ogos lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Projek 8 Conlay: GDB sah keluarkan notis gantung kerja kepada KSK Land

 

Notis tersebut diserahkan melalui anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn. Bhd. berikutan beberapa laporan media berhubung status projek berkenaan.

 

Menurut GDB, kedua-dua pihak sedang berbincang dengan tujuan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.

 

"Notis itu diserahkan seperti menurut dan dalam terma yang ditetapkan dalam perjanjian dan kontrak. Syarikat akan membuat pengumuman jika terdapat sebarang perkembangan penting," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Segala benda yang telah berlegar di media rupa-rupanya benar belaka! Jelas kedua-dua pihak sedaya-upaya tidak mahu cerita itu keluar. Entah mengapa The Edge Market memadam artikel asal mereka, jika tiada sesiapa hairan mungkin memadai dengan rasa kagum ia boleh berlaku.

 

Wajib Umum mengikut Bursa Malaysia

Menurut Bab 9 - Penzahiran Berterusan daripada Kehendak-kehendak Penyenaraian Sekuriti Bursa Malaysia (Listing Requirements), penerbit tersenarai mestilah mengikut Kehendak-kehendak ini, menzahirkan kepada umum semua maklumat material yang diperlukan untuk pelaburan tepat dan mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa semua yang melabur dalam sekuritinya mendapat akses sama rata kepada maklumat itu.

 

Lazimnya, sesuatu maklumat dianggap material jika ia dijangka mempunyai kesan ketara ke atas harga, nilai atau aktiviti pasaran sekuriti, atau mempengaruhi keputusan atau tindakan pemegang saham.

 

8 Conlay

 

Maklumat yang berkaitan dengan perniagaan penerbit tersenarai, keadaan kewangan, prospek atau yang bersangkutan urusan dengan pekerja, pembekal dan pelanggan dianggap sebagai material untuk penzahiran dan pengetahuan awam.

 

Tambahan pula, syarikat awam tersenarai perlu memastikan bahawa penzahiran maklumat penting tidak boleh dibuat secara individu atau atas dasar terpilih kepada penganalisis, pemegang saham, wartawan dan sebagainya melainkan maklumat tersebut sebelum ini telah dizahirkan sepenuhnya dan disebarkan kepada orang ramai.

 

Namun begitu, perkara sedemikian tidaklah begitu jelas dan mudah dalam amalan.

 

Tertakluk kepada budi bicara lembaga pengarah dan pengurusan, PLC boleh menahan sementara daripada menzahirkan maklumat penting secara terbuka jika mereka menganggap penzahiran segera maklumat tersebut akan menjejaskan keupayaan mereka untuk mencapai objektif korporatnya atau apabila mereka berada dalam situasi yang berubah-ubah atau mereka mencari masa yang lebih sesuai untuk menzahirkan maklumat berkenaan.

 

Impak sebenar ke atas saham GDB

Sejak awal meletus desas-desus mengenai masalah pembinaan 8 Conlay, harga saham GDB menyusut sebanyak 17% kepada paras terendah harian 22 sen daripada penutupan sebelumnya iaitu 26.5 sen pada 19 Ogos.

 

Kaunter itu susut 15% dan ditutup pada 22.5 sen pada akhir hari dagangan. Pada masa yang sama, 21.05 juta saham bertukar tangan pada 19 Ogos, berbanding 1.1 juta saham sehari sebelumnya. Harga saham GDB menyusut lagi kepada 19 sen pada 25 Ogos.

 

gdb

 

Walaupun sukar untuk mengaitkan sebab dan akibat antara kejatuhan mendadak harga saham GDB baru-baru ini dengan penggantungan kerja, tindak balas yang menjadi punca perubahan harga saham mungkin disebabkan oleh pasaran yang tidak mengambil mudah sikap GDB yang berdiam diri.

 

Isyarat dalam kes ini ialah sesebuah syarikat tersenarai awam tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk membuat penjelasan. Betul juga bahawa masa diperlukan bagi pengurusan mencari penyelesaian atau perundingan. Jadi susah juga hendak rumuskan tempoh yang sesuai.

 

Impak ke atas kewangan 2Q

Pada 23 Ogos lalu, GDB mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM11.2 juta yang 23.9% lebih rendah berbanding tahun lalu.

 

HLIB Research dalam nota penyelidikannya merumuskan kenaikan kos sebagai antara punca perbezaan di atas.

 

Firma penyelidikan itu percaya peningkatan mendadak dalam pelbagai kos boleh menyebabkan penangguhan penyiapan sesuatu projek.

 

Oleh itu, HLIB Research tetap berhati-hati terhadap keupayaan GDB yang sahamnya disaran supaya dijual, dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah sebanyak 15 sen.

 

TP adalah berdasarkan penandaan pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2022 (FY22) kepada gandaan harga kepada pendapatan enam kali ganda (daripada lapan kali ganda) disebabkan tekanan margin dan asas sektor swasta yang lemah.

 

HLIB Research juga menyatakan tiada dividen diisytiharkan. Malah, firma penyelidikan itu mendapati kos buruh yang semakin meningkat disebabkan oleh kekurangan yang berterusan.

 

8 Conlay

 

Namun kedudukan kewangan GDB tidak nazak di sebalik keputusan kewangan tersebut.

 

Setakat 30 Jun 2022, GDB memiliki projek-projek yang secara keseluruhannya bernilai RM1.23 bilion, yang memberikan potensi pendapatan sehingga suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Projek-projek itu terdiri daripada kerja-kerja pembinaan Park Regent di Desa Park City di Kuala Lumpur; Perla Ara Sentral di Petaling Jaya, Selangor serta Hotel Hyatt Centric di Kota Kinabalu, Sabah.

 

Dan tentunya projek 8 Conlay di Jalan Conlay, yang bakal kita tunggu apakah perkembangan selanjutnya antara GDB dengan subkontraktornya. – DagangNews.com

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh mengenai apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Tak Nak Jadi Soh Chai​​ oleh ​​​​​XPDC berulang-ulang kali.