Projek alternatif HSR, MRT 3 dijangka jimat hingga 40% | DagangNews Skip to main content

Projek alternatif HSR, MRT 3 dijangka jimat hingga 40%

HSR

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Perancangan baharu kerajaan untuk melancarkan projek alternatif Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) dijangka menjimatkan kos sebanyak 30% hingga 40%.

 

CGS-CIMB Research berkata, rancangan projek alternatif HSR yang lebih pendek mampu menjimatkan 30% lebih murah daripada kos asal iaitu RM60 bilion.

 

"Projek alternatif HSR menjimatkan 30% daripada kos asal RM60 bilion dan akan bermula dua tahun lebih awal iaitu pada 2022 berdasarkan anggaran kami.

 

"Baru-baru ini kami juga mengemukakan bahawa cadangan projek alternatif MRT 3 mungkin dapat mengurangkan hingga 40% dari jumlah kos asal iaitu sebanyak RM45 bilion bagi kerja-kerja bawah tanah tertentu," jelas CGS-CIMB Research.

 

Penilaian prospek sektor pembinaan bagi separuh pertama 2021 dilihat kurang menggembirakan.

 

CGS-CIMB Research berkata, situasi dari akhir 2020 berlaku termasuk penamatan perjanjian dua hala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG), perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) dan pengisytiharan darurat yang berkemungkinan hingga Ogos 2021.

 

Kesemua itu telah mengurangkan jangkaan positif yang diletakkan sebelum ini terhadap sektor pembinaan.

 

Tambah CGS-CIMB Research, disebabkan ketidaktentuan politik negara serta situasi COVID-19 yang tinggi, pihaknya mengekalkan saranan 'neutral' sektor pembinaan.

 

Bagaimanapun, sektor berkenaan dijangka mampu kembali pulih pada separuh pertama 2021 didorong oleh pengumuman Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), tender baharu kontrak air di Selangor, kelulusan MRT 3 yang disemak semula, perincian baharu projek HSR KL-JB dan kontrak perkongsian sektor swasta (PPP) baharu.

 

Semua itu tidak mampu dicapai sekiranya risiko lain seperti limitasi pembiayaan pekerjaan mega, situasi politik, dan kelewatan Belanjawan 2021 akibat PKP berlaku. - DagangNews.com