Projek bina kapal perang LCS sepatutnya tidak diurus secara rundingan terus - AMIM | DagangNews Skip to main content

Projek bina kapal perang LCS sepatutnya tidak diurus secara rundingan terus - AMIM

Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (MIDES) tapis syarikat mana layak dan mampu buat projek mega, kata AMIM.
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 22 April –  Projek perolehan dan pembinaan kapal tentera dan pertahanan mesti dibina di Malaysia kerana limbungan kapal, pembuat kapal dan pereka tempatan mempunyai pengalaman lebih dari 100 tahun di samping pemain industri tempatan harus diberikan peluang secara adil untuk melibatkan diri dalam projek mega seperti ini.

 

Presiden Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM), Soo Jee Main berkata, projek mega seperti projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) perlu diurus dengan telus dan pemain industri tempatan diberikan peluang secara adil dan terbuka kepada pemain industri dan bukan secara rundingan terus.

 

Mengulas mengenai projek berkaitan pertahanan yang dikaitkan dengan rundingan terus, beliau berkata projek-projek seperti ini seharusnya membuka peluang kepada semua pemain industri tempatan yang berdaftar dengan Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (MIDES).

 

"Vendor-vendor tempatan yang mahu melibatkan diri dalam projek berkaitan pertahanan perlu berdaftar dengan MIDES, dan majlis ini sendiri mempunyai keperluan dan piawaian yang ketat, dan dari sini tapisan telah dibuat bagi vendor yang layak dan berkebolehan," beliau memberitahu DagangNews.

 

Soo turut menegaskan bahawa AMIM amat prihatin akan pembangunan industri perkapalan negara dan meminta kerajaan tidak memberikan projek pembinaan kapal tentera Malaysia kepada limbungan negara luar dan pembinaan kapal tentera dari luar negara kerana ia akan merencatkan aspirasi negara untuk menjadi negara maritim terkemuka di rantau ini.

 

"Hanya dengan ekosistem dan perancangan yang baik dan tepat mampu menggalakkan perkembangan industri maritim dan dapat menyumbang secara signifikan terhadap Keluaran dalam negara kasar, dapat mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan pembangunan nasional," ujar Soo lagi.

 

Mengulas mengenai tahap kemahiran industri tempatan, Soo menekankan bahawa limbungan di Malaysia mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk membina kapal perang bagi memenuhi keperluan industri pertahanan Malaysia.

 

 

Presiden Persatuan Industri Marin Malaysia, Soo Jee Main
                  Soo Jee Main

 

 

Industri pembinaan kapal dan Pembaikan Kapal (SBSR) di Malaysia meliputi pembinaan pelbagai jenis kapal, seperti feri, tongkang, kapal tunda, kapal sokongan luar pesisir, kapal layar, kapal nelayan, kapal perang dan kapal peronda.

 

"Kami telah mengeksport kapal Buatan Malaysia ke negara luar seperti Australia, New Zealand, Kepulauan Pasifik (Fiji, Tokelau, New Caledonia), UAE, Qatar, Turki, Indonesia, Thailand dan juga jiran terdekat kami, Singapura.

 

"Kita telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, dimana Tentera Laut Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memberikan pengiktirafan terhadap kepakaran dan kemahiran tempatan dengan membeli dan membina kapal latihan tentera laut di Shin Yang Shipyard Sdn Bhd yang berpangkalan di Miri, Sarawak.

 

''Bukan itu sahaja, Piasau Slipways Sdn Bhd, sebuah limbungan kapal milik Shin Yang yang telah berjaya membina dan menghantar 2 unit kapal Pendarat Alquwaisat dan Alputaisi kepada Tentera Laut UAE pada tahun 2013.

 

"Kita seharusnya lebih diiktiraf di negara sendiri," tegas beliau lagi.

 

BERITA BERKAITAN: Vendor sokong keputusan kerajaan teruskan projek LCS: Boustead Naval perlu jelaskan bayaran

 

Kelulusan kerajaan bagi projek kapal perang LCS elak LTAT berdepan malapetaka kewangan

 

Fakta-fakta skandal kapal tempur pesisir pantai LCS untuk anda faham

 

Terdahulu dilaporkan bahawa terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion merangkumi pelbagai perkara antaranya lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia, 90% daripadanya berhubung kait dengan veteran.

 

AMIM dengan keahlian seramai 120 ahli yang terdiri daripada 53 limbungan kapal dan selebihnya syarikat yang berkaitan dengan industri maritim teruja dengan peluang yang bakal terbuka kepada pemain industri. – DagangNews.com