Projek Hidroelektrik Nenggiri: Komitmen TNB untuk tenaga hijau | DagangNews Skip to main content

Projek Hidroelektrik Nenggiri: Komitmen TNB untuk tenaga hijau

Dato' Ahmad Yakob menyempurnakan simbolik perasmian dengan menggunakan mesin jengkaut pada majlis pecah Tanah projek Hidorelektrik Nenggiri, Gua Musang Kelantan pada 12 Jun 2022.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 12 Jun - Projek Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang bernilai RM5 bilion membawa faedah berlipat ganda kepada negeri Kelantan bukan sahaja dari segi mengurangkan kesan banjir dan kemarau, bahkan boleh merangsang pelbagai kegiatan ekonomi melampaui komuniti setempat.

 

Malah, projek ini adalah satu lagi penjanaan tenaga hijau oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) demi melestarikan kehidupan manusia dan alam sekitar di samping meningkatkan kestabilan bekalan elektrik untuk rakyat dan negara.

 

Apabila beroperasi kelak, ia akan menyumbang secara purata unit dijana sebanyak 600-Gigawatt jam setahun, sekali gus menghindari pelepasan 355,000 tan karbon dioksida (CO2) oleh operasi loji haba (bahan api fosil). 

 

Hidroelektrik yang bakal menjana 300MW itu apabila siap pada 2026, membantu kerajaan menuju sasaran 31% kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara pada 2025 dan 40% menjelang tahun 2035.

 

Ia menterjemahkan sokongan kuat TNB melalui Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB (TNB Sustainability Pathway 2050) dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih, selari komitmennya terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, skim hidroelektrik Nenggiri ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan TBB di Semenanjung Malaysia, sejajar peranan TNB menggerakkan peralihan industri tenaga negara.

 

“Ia adalah satu amanah yang dipikul oleh TNB untuk kepentingan rakyat dan negara, yang menuntut peranan dan komitmen TNB, khususnya dalam melestarikan alam sekitar,” katanya berucap di Majlis Pecah Tanah yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob di sini hari ini.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Kelantan, Dato' Nazran Muhammad; Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin; Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din serta pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta Pengarah Urusan Genco, Datuk Nor Azman Mufti.

 

TNB
Dato' Ahmad Yakob (empat kanan); Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tiga kanan); Dato' Mohd Amar Abdullah (dua kiri); Dato' Nazran Muhammad (tiga kiri); Dato' Sri Hasan Arifin (dua kanan);Datuk Ir. Baharin Din (paling kanan), dan Datuk Nor Azman Mufti (paling kiri) menyempurnakan simbolik perasmian pada majlis pecah Tanah projek Hidorelektrik Nenggiri, Gua Musang Kelantan pada 12 Jun 2022.

 

Perjanjian pelaksanaan projek ini telah dimeterai di antara Kerajaan Negeri Kelantan dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), anak syarikat milik penuh TNB, pada 17 Ogos 2021.  Kerja-kerja di tapak projek, kira-kira 30 kilometer dari bandar Gua Musang itu telah pun bermula pada 1 Mac lalu.

 

Syarikat tujuan khas (SPV) yang juga anak syarikat milik penuh TNB Genco, TNBPG Hydro Nenggiri Sdn. Bhd akan menyiapkan projek ini dalam masa 52 bulan.

 

Projek ini juga menepati Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disetujui sebulat suara oleh 193 negara termasuk Malaysia pada 2015. Ia mensasarkan manusia dapat menikmati keamanan dan kemakmuran dengan melindungi bumi dan membasmi kemiskinan serta menyeimbangkan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.

 

Ini boleh dikaitkan dengan penempatan semula masyarakat Orang Asli di  lokasi projek itu, dengan kemudahan berkualiti seperti bekalan air bersih, elektrik, sistem rawatan kumbahan, jalan masuk, klinik, dewan serbaguna, kompleks sekolah, rumah kedai, kemudahan sukan dan rekreasi.

 

Projek ini juga berpotensi menjadi entiti ekonomi yang membuka peluang pekerjaan dan perniagaan tempatan dalam pelbagai bidang seperti pembinaan, makanan dan peruncitan, serta industri baharu seperti eko-pelancongan dan akuakultur, seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi dan kehidupan masyarakat setempat.

 

Selain semua kepentingan negeri dan rakyat Kelantan telah diambil kira, Ahmad Yakob menegaskan seperkara yang cukup penting ialah keupayaan projek ini membantu negeri Kelantan menghadapi kesan banjir melalui kewujudan Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer persegi dan Kolam Pengatur-Aliran seluas 0.97 kilometer persegi.

 

TNB

 

 

“Kedua-dua negeri jiran Kelantan di Pantai Timur ini sudah pun mempunyai skim hidroelektrik masing-masing yang membantu mereka meredakan tekanan banjir pada musim tengkujuh. Kali ini, giliran Kelantan pula memanfaatkan infrastruktur empangan bagi tujuan berkenaan.

 

“Saya juga difahamkan menerusi kaedah kawalan paras air empangan, impak banjir boleh dikurangkan.

 

"Menjelang musim tengkujuh, pihak TNB akan menurunkan paras air di Tasik Takungan Utama untuk menyediakan ruang simpanan air hujan yang banyak ketika monsun nanti,” katanya dalam ucapan perasmian upacara pecah tanah projek berkenaan.

 

Seterusnya, kata beliau, projek empangan hidroelektrik ini juga akan memberi manfaat perbekalan air bersih dan penambahbaikan pengairan untuk pertanian. Potensi ini hendaklah dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan dengan sebaik-baiknya, khusus dalam aspek mengairi kawasan pertanian.

 

Sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan, TNB telah memperoleh kesemua kelulusan yang diperlukan, antaranya Kajian Potensi Mineral; Kajian Penerimaan Awam dan Sosial; Kajian Impak Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment - EIA); Kajian Impak Sosial (Social Impact Assessment - SIA); Kajian Impak Warisan (Heritage Impact Assessment - HIA), dan sebagainya. - DagangNews.com