KUALA LUMPUR 1 Sept - Bersedia untuk menjadi hab gaya hidup dan hiburan popular di Simpang Ampat, Pulau Pinang, Iconic Point yang dibangunkan Iconic Worldwide Berhad (IWB) berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembelinya.
Projek pembangunan bercampur itu yang dilanggan sepenuhnya, adalah projek komersial pertama di Simpang Ampat yang menawarkan pejabat kedai berkembar dan separa-berkembar dengan lif tersendiri secara bersama.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM127.81 juta, Iconic Point adalah projek usaha sama 65:35 antara Iconic Maison Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IWB dengan Iconic Development Sdn Bhd, anak syarikat Iconic Group.
Iconic Point merentasi tanah seluas 8.7 ekar dan mempunyai 49 pejabat kedai pegangan bebas, dengan keluasan binaan 4,350 kaki persegi untuk pejabat kedai berkembar tiga tingkat dan pejabat kedai berkembar seluas 5,556 kaki persegi. Unit-unit ini dilengkapi dengan lif tersendiri secara bersama.
Pengarah Urusan IWB, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, mereka berbesar hati untuk mewujudkan hab gaya hidup baharu di Simpang Ampat.
Beliau berkata, mereka telah berjaya menerima maklum balas positif daripada cawangan jenama antarabangsa di Iconic Point seperti The Coffee Bean & Tea Leaf, McDonald’s, Starbucks, Family Mart, CU Mart, ZUS Coffee, Secret Recipe dan Watsons.
“Dengan pelbagai pilihan jenama makanan dan minuman (F&B) terkenal dan kemudahan lain, ini adalah nilai seumpamanya yang kami ingin suntikan kepada Simpang Ampat kerana belum ada pembangunan komersial seperti Iconic Point di kawasan itu.
"Pembangunan ini juga menampilkan hotel butik empat tingkat di hujung lingkaran Iconic Point di mana seseorang boleh memilih untuk berehat dengan selesa ketika kekal berada dalam persekitaran dengan pelbagai kemudahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tan berkata, mewujudkan hab komersil sedemikian amat sesuai dengan permintaan yang semakin meningkat khususnya untuk ruang gaya hidup kontemporari di kawasan itu.
“Sentiasa menjadi aspirasi kami untuk muncul penggerak pertama dalam membawa pengalaman gaya hidup baharu ke Simpang Ampat, dan saya optimis Iconic Point akan menjadi mercu tanda penting dan menjadi salah satu pemacu utama dalam membawa kerancakan dan akhirnya kepada pertumbuhan landskap hartanah kawasan itu,” katanya.
Iconic Point terletak di lokasi strategik berhampiran persimpangan Jalan Permatang Tinggi dan Jalan Bukit Tambun, tidak jauh dari Lebuhraya Utara-Selatan. Pembangunan ini juga terletak tidak jauh dari KTM Simpang Ampat dan berdekatan dengan kawasan perumahan.
Kumpulan itu juga dalam perancangan membangunkan projek rumah mampu milik baharu di Alma, Seberang Perai, Pulau Pinang, yang dijangka dilancarkan pada suku keempat 2022. Projek mampu milik itu melibatkan 751 unit rumah mampu milik dan 16 unit pejabat kedai dengan GDV bernilai RM220 juta. - DagangNews.com