Projek kapal perang LCS kini sudah terlebih kos RM1.4 bilion | DagangNews Skip to main content

Projek kapal perang LCS kini sudah terlebih kos RM1.4 bilion

Kontrak Kapal Tempur Littoral (LCS) diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus.

KUALA LUMPUR 4 Ogos — Projek Kapal Tempur Littoral (LCS) kini sudah terlebih kos RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Wong Kah Woh hari ini.

 

Ahli Parlimen Ipoh Timor itu menambah, 15% daripada peralatan untuk projek LCS bernilai RM1.7 bilion juga sudah lapuk selepas terlalu lama disimpan.

 

“Kontrak Kapal Tempur Littoral (LCS) diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus dan kita telah membayar mereka sehingga RM6.083 bilion setakat ini.

 

"Namun, tiada satu pun kapal LCS telah dihantar. Mengikut garis masa kami, lima kapal LCS sepatutnya telah siap dan diserahkan kepada kita menjelang Ogos 2022," kata Wong.

 

Ketika ditanya pemberita, beliau berkata daripada RM1.4 bilion kos tambahan, RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama projek NGPV, RM300 juta digunakan untuk kemudahan integrasi di Cyberjaya, manakala selebihnya adalah lebihan kos.

 

Beliau juga menyelar Kementerian Pertahanan kerana tidak mempertimbangkan "manfaat pengguna akhir" apabila mereka membuat pembelian kapal tempur.

 

“Pada awalnya, Mindef bersetuju untuk membeli model Sigma tetapi ia ditukar kepada Gowind pada 11 Julai atas cadangan BNS.

 

"Malah (Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar), panglima Tentera Laut ketika itu berkata bahawa keputusan sedemikian adalah sangat salah," kata Wong.

 

Wong kemudian mencadangkan kerajaan menyahklasifikasi laporan berkaitan perolehan kapal LCS untuk penelitian awam.

 

Beliau juga menggesa SPRM mengambil tindakan segera terhadap penemuan PAC dan meminta Mindef membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan.

 

"Kami faham bahawa projek ini telah ditangguhkan untuk masa yang lama, dan tidak ada banyak kemajuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini malah telah berhenti berfungsi.

 

“Oleh itu kami mahu Mindef melaporkan kepada kami setiap tiga bulan sehingga projek itu siap,” kata Wong.

 

Projek LCS merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Mindef dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

 

Kontrak tersebut bermula pada 2013 dengan jangka masa sepuluh tahun dan enam kapal LCS dijangka dibina dan dihantar ke negara ini menjelang akhir 2023. - DagangNews.com