Projek kerjasama LTAT, Dhaya Maju melibatkan KVDT Fasa 2 diteruskan - Kementerian Pengangkutan | DagangNews Skip to main content

Projek kerjasama LTAT, Dhaya Maju melibatkan KVDT Fasa 2 diteruskan - Kementerian Pengangkutan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 2 yang melibatkan syarikat kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. masih diteruskan.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam satu kenyataan bertulis kepada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, kos kontrak itu dikekalkan pada harga RM4.475 bilion dengan skop projek dan tempoh pelaksanaan tidak berubah.

 

Keputusan itu berdasarkan kepada keputusan Kabinet pada 18 Mei 2022 apabila syarikat Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd. mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.

 

Susulan itu, surat anugerah (LOA) bertarikh 29 Julai 2022 dikeluarkan kepada Dhaya Maju LATAT berdasarkan kepada perbincangan bersama kementerian itu dan Kementerian Kewangan.

 

"Sebarang dakwaan bahawa LTAT ditindas oleh Kementerian Pengangkutan adalah tidak berasas. Pelantikan perunding pemeriksaan bebas (ICC) perlu disegerakan bagi memastikan projek berjalan lancar," katanya Ka Siong.

 

Anthony, yang ingin mengetahui perkembangan terkini projek pemuliharaan landasan KVDT Fasa 1 dan KVDT Fasa 2 telah meminta Menteri Pengangkutan nama kontraktor yang dilantik dan ICC, tarikh siap kedua-dua fasa serta jumlah kos terkini untuk Fasa 2.

 

Ka Siong berkata, Dhaya Maju merupakan kontraktor yang dilantik untuk projek KDVT Fasa 1 dan Fasa 2, manakala JSP Emenea JV Sdn. Bhd. dilantik sebagai ICC untuk projek KDVT Fasa 1 dan ICC untuk Fasa 2 masih belum dimuktamadkan tetapi sedang dipercepatkan.


Projek yang seharusnya siap pada 1 November 2019 telah ditangguhkan dan empat lanjutan masa diberikan dengan tarikh siap semasa ialah 30 Januari 2023. Peratusan keseluruhan kemajuan projek KVDT Fasa 1 sehingga 24 Julai 2022 ialah 92.43%.

 

"Akibatnya, pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) masih tidak dapat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik dan kemudahan stesen yang lebih baik dengan selesa,” katanya.

 

Pada 27 Oktober 2020, Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan, Ka Siong, Opus Consultants (M) Sdn. Bhd. dan KTMB berhubung penamatan kontrak syarikat dalam projek KVDT Fasa 2.

 

Berdasarkan kepada pernyataan tuntutan, Dhaya Maju LTAT antara lain mendakwa bahawa sehingga kini, notis rasmi penamatan masih belum dikeluarkan kepada syarikat itu dan mereka tidak mengetahui penamatan itu sehingga ia diumumkan Ka Siong dalam satu kenyataan media.


Selain pampasan, Dhaya Maju LTAT yang diperbadankan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016, memohon pengisytiharan bahawa penamatan kontrak adalah terbatal dan tidak sah.

 

Pertikaian itu timbul selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dianugerahkan melalui rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan, termasuk projek KVDT Fasa 2 bernilai RM4.475 bilion yang diberikan kepada Dhaya Maju LTAT. - DagangNews.com