Projek ladang solar tidak jejas kawasan Orang Asli - MB Perak | DagangNews Skip to main content

Projek ladang solar tidak jejas kawasan Orang Asli - MB Perak

IPOH 22 April - Projek ladang solar keempat yang akan dibangunkan di Bidor tahun hadapan, tidak akan menjejaskan penempatan Orang Asli, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad. 

 

Beliau berkata, projek pembangunan itu akan menggunakan bekas lombong yang telah ditinggalkan, sekali gus tidak akan berhadapan masalah dengan komunitti masyarakat Orang Asli.

 

“Apabila kita membangunkan projek hidro, kebanyakkan sungai yang berada dalam hutan belantara akan melibatkan penempatan Orang Asli. Sudah pasti kita akan berhadapan dengan masyarakat Orang Asli.

 

"Tetapi bagi projek ‘solar farm’ ini, kawasan-kawasan pembinaan tidak melibatkan Orang Asli. Kita menggunakan bekas lombong yang ditinggalkan. Jadi, kita tidak berhadapan dengan masalah sebegini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian inisiatif Projek ‘Solar Farm’ negeri Perak di pejabatnya, Rabu, lapor Bernama.

 

Perjanjian itu membabitkan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Raq Abdul Razak dan Pengarah Urusan Ganding Kencana Sdn Bhd (GKSB) Datuk Dr Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng, selaku pemain industri tenaga solar. 

 

LM350

 

Menurut Saarani, pembangunan projek tersebut melibatkan teknologi hijau dan penggunaan kawasan-kawasan bekas lombong  itu akan dapat membantu meningkatkan semula nilai pada tanah tersebut.

 

Sementara itu, Muhamad Guntor berkata projek solar keempat itu bakal membuka kira-kira 800 peluang pekerjaan, memandangkan saiz tanah yang dibeli melibatkan keluasan sebanyak 106 ekar. 

 

Muhamad Guntor Mansor Tobeng
Muhamad Guntor Mansor Tobeng

 

“Kita boleh mengisi sebanyak 40 megawatt (MW) kapasiti solar. Jadi 40 MW untuk menyiapkan pemasangan kita perlukan 800 orang pekerja, dalam masa-masa tertentu,” katanya.

 

Jelasnya, ladang solar pertama di Bidor bernilai RM214 juta telah disiapkan, manakala projek hidro di Sungai Gedung bernilai RM40 juta dan ladang ketiga di Bidor bernilai RM110 juta masih dalam pelaksanaan, selain pelaburan keempat di kawasan Kuala Bikam bernilai RM150 juta akan bermula pada tahun hadapan.

 

Untuk rekod, projek ladang solar seluruh negara telah meningkatkan jumlah pekerjaan tempatan dan akan memberi peluang kepada universiti tempatan untuk mempelajari serta memahami tenaga boleh diperbaharui, daripada pelaku industri.

 

Ia juga memberi peluang kepada penggiat tempatan, selain bermatlamat untuk memacu  industri  tenaga boleh diperbaharui (RE)  negara  pada waktu pandemik COVID-19. Ladang solar juga berpotensi untuk menyediakan tenaga bersih untuk menyokong aktiviti perindustrian dan pertanian, dan membawa manfaat ekonomi yang meluas kepada masyarakat. - DagangNews.com