Projek perintis Transit Rapid Bas akan bermula April ini - IRDA | DagangNews Skip to main content

Projek perintis Transit Rapid Bas akan bermula April ini - IRDA

Program ujian perintis ini akan membabitkan 9 syarikat pengeluar bas yang akan mengendalikan demonstrasi  bas teknologi hijau. - Gambar hiasan

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan memulakan fasa seterusnya bagi projek Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) selama 3 bulan mulai 8 April ini. 

 

Fasa ini membabitkan program ujian perintis yang akan dikendalikan IRDA di sepanjang Lebuhraya Sultan Iskandar antara Horizon Hill dan Anjung di Medini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, program perintis ini menjadi tonggak penting kepada IMBRT apabila projek ini berjalan sepenuhnya. 

 

Katanya, Iskandar Malaysia perlu mempunyai sistem perhubungan yang mantap supaya ia dapat berkembang sebagai metropolis bertaraf antarabangsa. 

 

"Infrastruktur sistem pengangkutan awam yang bersepadu dan efisien adalah penting untuk menatik pelaburan asing dan domestik ke wilayah ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi. 

 

"Sehubungan itu, kami yakin sistem IMBRT akan meningkatkan mobiliti dalam kalangan kalangan rakyat dengan menyediakan sambungan dan akses dalam Iskandar Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Program ujian perintis ini akan membabitkan 9 syarikat pengeluar bas yang akan mengendalikan demonstrasi  bas teknologi hijau termasuk penggunaan elektrik dan biodiesel.

 

Penyertaan syarikat ini akan menyaksikan bas dalam pelbagai saiz daripada sepanjang 6 meter, 12 meter hingga 32 meter. 

 

Satu kajian juga akan dilaksanakan oleh Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) untuk mengakses prestasi Automated Rapid Transit (ART) terutama dari segi keupayaan membelok, pengendalian dan perubahan lorong di jalan raya.

 

Bagi bas berukuran 6 meter pula, ia akan menjalani ujian mengukur laluan feeder termasuk tempoh hayat bateri (setiap trip) untuk bas elektrik.

 

Sebagai tulang belakang pengangkutan awam di Iskandar Malaysia, tujuan utama IMBRT adalah untuk meningkatkan liputan pengangkutan awam di wilayah ini daripada 39% kepada 90% dan meningkatkan nisbah pengangkutan awam daripada 15% kepada 40% menjelang 2025.

 

Projek IMBRT menyediakan 55 feeder dan 44 perkhidmatan secara langsung menjadikan keseluruhan liputan rangkaian kepada 2,051 kilometer atau hampir 90% daripada kawasan populasi di Iskandar Malaysia. - DagangNews.com