Projek RM12.2 bilion ‘dalam tangan’ UEM Edgenta | DagangNews Skip to main content

Projek RM12.2 bilion ‘dalam tangan’ UEM Edgenta

Syahrunizam Samsudin
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Syarikat pengurusan dan infrastruktur, UEM Edgenta Berhad berada dalam kedudukan yang baik apabila berjaya mencatatkan pesanan buku (order book) melibat projek di Malaysia termasuk pasaran antarabangsa bernilai RM12.2 bilion setakat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20). 

 

Ini melibatkan RM190.1 juta di Dubai, RM471.1 juta di Taiwan, RM10,680.7 juta di Malaysia, RM803.2 juta di Singapura, RM 8.5 juta di Indonesia dan India, menurut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin. 

 

“Kami telah meraih lebih daripada RM1.443 bilion nilai kontrak. Ini menunjukkan ketahanan perniagaan UEM Edgenta walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar ketika pandemik COVID-19. 

 

“Antara kesemua projek berkenaan, Malaysia merupakan penyumbang terbesar. Bagaimanapun, kami menyaksikan pertumbuhan kukuh di Singapura dan Taiwan selain kumpulan syarikat berhasrat untuk membina pasaran di Dubai dan Indonesia. 

 

“Ini susulan kedua-dua pasaran itu menawarkan peluang yang besar untuk UEM Edgenta bekerjasama dengan rakan kongsi dalam memberikan perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan,” jelasnya ketika membentangkan visi jangka panjang syarikat itu, ‘Edgenta of the Future 2025’ (EOTF 2025) secara maya hari ini. 

 

UEM Edgenta
SYAHRUNIZAM SAMSUDIN (tengah), diapit oleh Hillary Chua (kiri) dan Rais Imran (kanan) membincangkan aspirasi ‘Edgenta of the Future’ syarikat serta keputusan kewangan dan rancangan sepanjang tahun ini dalam sesi taklimat kepada media.

 

Turut serta, Ketua Pegawai Kewangan UEM Edgenta, Hillary Chua dan Ketua Pegawai Perancangan UEM Edgenta, Rais Imran. 

 

Baca : FY21: Sekitar RM40 juta capex untuk pembangunan digital UEM Edgenta

 

Tambah Syahrunizam, kontrak yang diperoleh itu melibatkan tawaran sokongan penjagaan kesihatan bernilai RM500 juta dan RM300 juta, masing-masing di Singapura dan Taiwan serta infrastruktur Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak bernilai RM76.0 juta. 



Berhubung prospek pengembangan pasaran seperti di Arab Saudi, Syahrunizam berkata, masih awal untuk kumpulan syarikat itu membuat membuat sasaran kerana mereka masih menilai daya saing di pasaran berkenaan. 

 

“Kami baru sahaja mengenal pasti dua rakan kongsi yang berpotensi untuk kerjasama dan ini sangat berkaitan dengan pasaran di mana setiap bandar di Arab Saudi mungkin melihat pihak rakan kongsi yang berbeza. 

 

“Segmen yang kami perhatikan adalah perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan seperti mana kami lakukan di Malaysia mahupun Singapura dan Taiwan.

 

"UEM Edgenta berhasrat untuk mengeksport beberapa teknologi dan kebolehan kami, di mana rakan kongsi kumpulan syarikat boleh menggunakannya untuk perkhidmatan pengurusan hospital," jelasnya lanjut.

 

Beliau melihat terdapat peluang pasaran lebih besar di Arab Saudi dari segi perkhidmatan sumber luar untuk sokongan penjagaan kesihatan di hospital.

 

Bagaimanapun, UEM Edgenta tidak meletakkan sasaran syer pasaran dan langkah terbaik mengembangkannya menerusi tender bersama-sama rakan kongsi yang dijangka bermula suku ketiga tahun ini, ulas Syahrunizam lanjut. - DagangNews.com