Projek RTS beri peluang kepada 40% kontraktor tempatan di Johor  | DagangNews Skip to main content

Projek RTS beri peluang kepada 40% kontraktor tempatan di Johor 

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua kiri) dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara JCCD dan MRTS di Johor hari ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Johor Centre For Construction Development (JCCD) dengan anak syarikat milik penuh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd., (MRTS) bakal memberi manfaat kepada kontraktor tempatan.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, perancangan strategik JCCD selaku anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Johor akan memastikan kontraktor tempatan dapat mengambil peluang dan diberi pendedahan untuk terlibat sama dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura.

 

Katanya, menerusi jalinan usaha sama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam membangunkan kepakaran termasuk pemindahan ilmu dan teknologi kepada kontraktor tempatan.

 

"Sebanyak 40% daripada nilai keseluruhan pembinaan infrastruktur awam dianggarkan bernilai RM800 juta akan diperuntukkan kepada kontraktor tempatan di Johor yang berkelayakan terdiri daripada gred G1 sehingga G6," katanya dalam majlis menandatangani perjanjian itu di Johor hari ini.

 

Pembinaan RTS Link Johor Bahru-Singapura fasa pertama dijangka bermula pada Januari 2021. 

 

Bagi kerja-kerja infrastruktur awam pula, ia dijangka siap pada akhir 2024 dengan pembukaan penuh dijadualkan pada akhir 2026.

 

Menurut Hasni, RTS Link Johor Bahru-Singapura ini mempunyai jajaran sepanjang 4 kilometer (km) dengan 2.7 km berada di Malaysia, manakala 1.3 km di Singapura. 

 

Katanya, jajaran ini merangkumi bahagian bertingkat yang akan dibina di Malaysia, manakala bahagian bertingkat dan bawah tanah dibina di Singapura.

 

"Nilai keseluruhan projek ini dianggarkan berjumlah RM3.7 bilion dan daripada nilai itu, RM2 bilion merupakan kos pembinaan infrastruktur awam," katanya. - DagangNews.com