Projek solar India: Yinson dijangka raih untung bersih AS$3.5 juta setiap tahun | DagangNews Skip to main content

Projek solar India: Yinson dijangka raih untung bersih AS$3.5 juta setiap tahun

Yinson

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac. - Keputusan syarikat perkhidmatan perkapalan, Yinson Holdings Berhad (Yinson) menyertai projek kedua tenaga boleh diperbaharui iaitu loji tenaga solar di India dijangka memberi keuntungan bersih sebanyak AS$3.5 juta secara tahunan.

 

CGS-CIMB Research berkata, jumlah tersebut bagaimanapun adalah kurang 3% daripada ramalan keuntungan bersih tahun kewangan 2023 yang diletakkan pihaknya.

 

"Yinson memaklumkan bahawa Rising Sun Energy (K) (RSEK) akan menghasilkan pendapatan tahunan sebanyak AS$14.8 juta dan EBITDA (perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) sebanyak AS$14 juta setahun.

 

"Kami menganggarkan untung bersih RSEK berjumlah AS$1.5 juta hingga AS$2.5 juta pada tahun pertama operasi.

 

"Setelah menolak faedah minoriti sebanyak 5% bagi Rising Sun Energy (RSE) dam RSEK, Yinson dijangka dapat meraih keuntungan bersih bernilai AS$3.5 juta daripada kedua-dua entiti tersebut pada setiap tahun," jelas CGS-CIMB Research.

 

Pada Mac 2020, Yinson telah membeli 37.5% ekuiti syarikat Rising Sun Energy (RSE) sebelum menambah milikan kepada 95% pada akhir 2020.

 

Perolehan 95% ekuiti dalam RSE itu bernilai AS$30 juta.

 

Pada Mac 2021 pula, Yinson mengumumkan bahawa RSEK yang merupakan anak syarikatnya telah menerima Surat Penghargaan dari National Thermal Power Corporation Limited (NTPC) bagi tujuan pengembangan Projek Tenaga Solar fotovoltaik grid 190MW di Rajisthan, India.

 

Dalam masa yang sama, CGS-CIMB Research  memberitahu, Yinson turut memerhatikan ladang angin dan solar darat di Italy serta pembangunan ladang hijau lain di Eropah, Australia, New Zealand, Vietnam dan Amerika Latin serta dalam tender baharu di India dengan sasaran mencapai 3,000MW hingga 5,000 MW penjanaan elektrik dalam masa dua hingga lima tahun.

 

Dua projek milik Yinson di India kini hanya membekalkan 330MW yang membuatkan syarikat berkenaan merancang untuk pertumbuhan yang signifikan dalam kapasiti tenaga boleh diperbaharui itu. - DagangNews.com