PROLINTAS terima pensijilan antarabangsa ABMS daripada SIRIM QAS | DagangNews Skip to main content

PROLINTAS terima pensijilan antarabangsa ABMS daripada SIRIM QAS

PROLINTAS

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Julai - Kumpulan Syarikat RPOLINTAS (PROLINTAS) melalui lapan anak syarikatnya berjaya memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001:2016 bagi Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS).

Pengiktirafan tersebut diberi oleh badan penilaian yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia dan United Kingdom Accreditation Service, SIRIM QAS baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, PROLINTAS telah berjaya menunjukkan standard yang tinggi dalam mencegah dan mengesan jenayah rasuah bagi mencapai sijil ISO 37001.

"Pengiktirafan bagi lapan anak syarikat ini adalah bukti komitmen kami sepenuhnya terhadap budaya kerja yang beretika dalam menjalankan perniagaan. Ia juga memperlihatkan prosedur dan proses yang dilaksanakan menepati piawaian terkenal dunia dan terus menjadi kebanggaan apabila keseluruhan latihan telah dilaksanakan oleh pasukan integriti dalaman.

"Dengan pensijilan ini ia akan memberi faedah dan meningkatkan keyakinan kepada pihak berkepentingan seperti pemegang saham dan rakan niaga yang berpotensi. Kami akan terus memperketatkan lagi semua aspek ABMS di seluruh kumpulan dan mengawasi segala perancangan dan pelaksanaan pada setiap operasi," katanya dalam satu kenyataan.

PROLINTAS
PROLINTAS

 

Pensijilan tersebut diberi melalui penilaian ketat dan komprehensif mengenai dasar dan prosedur anti-rasuah kumpulan.

Piawaian ISO 37001:2016 telah menepati syarat yang dinyatakan dalam Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Garis Panduan Prosedur yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020.

Piawaian tersebut adalah panduan untuk membantu organisasi menubuhkan, melaksanakan, memelihara dan meningkatkan program anti-rasuah.

Lapan pensijilan yang diperoleh PROLINTAS adalah seperti berikut;

  • Sistem Pengurusan Anti Rasuah bagi Penyediaan Operasi Lebuhraya (AKLEH, LKSA, SILK, GCE)
  • Sistem Pengurusan Anti Rasuah bagi Penyediaan Pembangunan dan Pengurusan Projek Pembinaan Jalan Raya (SUKE, DASH)
  • Sistem Pengurusan Anti Rasuah bagi Penyediaan Pengurusan Projek Pembinaan Jalan Raya (Turnpike Synergy Sdn. Bhd)
  • Sistem Pengurusan Anti Rasuah bagi Penyediaan Operasi Lebuhraya, Pembangunan dan Pengurusan Projek Pembinaan Jalan Raya dan Perkhidmatan Korporat (Projek Lintasan Kota Holdings Sdn.Bhd.)

Jelas Mohammad Azlan lagi, pensijilan yang mengfokuskan kepada inisiatif anti-rasuah dalam Penyediaan Operasi Lebuhraya, Pembangunan dan Pengurusan Projek Pembinaan Lebuhraya dan Perkhidmatan Korporat pastinya membantu PROLINTAS untuk membina struktur asas yang lebih sistematik terhadap inisiatif kawalan integriti pihaknya. - DagangNews.com