Skip to main content

PROMAX…… Selamat Menempuh ke Alam Universiti (SURAT PEMBACA)

Saudara Pengarang,

 

SETELAH menempuh pelbagai dugaan dan cabaran akibat pandemik COVID-19 di dalam menduduki peperiksaan SPM, akhirnya keputusan SPM 2020 telah diumumkan pada 10 Jun 2021.

 

Seramai 9,411 atau 2.46% daripada 381,894 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 memperoleh keputusan semua A. Seramai 78,731 atau 20.62% memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian manakala 146,447 atau 38.35% memperoleh keputusan lulus dan 31.81% atau 121,496 calon memperoleh keputusan sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.

 

Kepada yang layak, hala tuju mereka selepas ini sudah tentunya ke arah pusat pengajian tinggi. Seramai 129,835 lepasan SPM 2020 layak melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2021/2022 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) untuk kemasukan Ogos ini. Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar berkata, jumlah itu membabitkan kemasukan ke Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

 

Promax merupakan gelaran secara tidak rasmi yang telah diberikan kepada pelajar yang sepatutnya menduduki SPM 2020 tetapi telah ditunda sehingga 2021 disebabkan penularan pandemik COVID-19. Promax akan memulakan pembelajaran di pusat pengajian tinggi tidak lama lagi. Kolej Matrikulasi telah pun bermula pada 26 Julai 2021, manakala Pusat Asasi ada yang bermula pada 2 Ogos 2021. Peringkat Diploma pula akan bermula hujung September 2021.

 

Menjejakkan kaki ke menara gading adalah impian kepada semua lepasan SPM. Setiap pelajar yang berjaya ke menara gading sudah pasti mengimpikan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Dalam suasana yang berteknologi tinggi ini, kelulusan akademik telah menjadi satu kemestian bagi menjamin masa depan di dalam bidang kerjaya. Semua inginkan kesempurnaan di dalam kerjaya masing-masing.

 

Bekas Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan calon SPM 2020 adalah generasi paling mencabar, berikutan terpaksa berdepan suasana pembelajaran dan peperiksaan yang berlainan berbanding calon sebelum ini, susulan penularan wabak COVID-19.

 

Generasi Promax akan melalui satu peralihan sistem pendidikan menengah ke pendidikan tinggi. Di universiti, kelangsungan hidup atau survival yang merupakan satu perkara utama yang perlu dihadapi. Kejutan budaya pasti akan berlaku kerana semuanya perlu dilakukan sendiri. Walaupun ada sebahagiannya sudah biasa tinggal di asrama, tetapi suasana pembelajaran dan kehidupan di peringkat universiti sangat berbeza. Pelajar akan dilayan seperti orang dewasa. Tiada lagi cikgu-cikgu yang akan senantiasa bertanya itu dan ini.

 

Tugas cikgu-cikgu telah diambil alih oleh pensyarah. Pensyarah akan memastikan sistem pembelajaran yang lebih bersifat kendiri. Terma “You are matured enough to…..” akan kerap didengari sepanjang pengajian. Jadi semangat survival perlu berada di tahap yang maksimum. Kekuatan mental dan fizikal perlu ada pada setiap pelajar demi menghadapi cabaran sepanjang tempoh pengajian di universiti. Emosi juga mudah terusik kerana gelaran graduan universiti itu sebenarnya sangat berat untuk dibawa. Hasrat ibubapa, keluarga dan diri sendiri perlu jalan selari kerana hasrat untuk menjadi graduan terbaik sering menjadi idaman dan perlu digenggam.

 

Bagi lepasan SPM, program yang biasa dipohon oleh bakal pelajar ini adalah Matrikulasi, Asasi dan Diploma. Mengikut statistik kemasukan pelajar baru universiti awam bagi peringkat Matrikulasi, Asasi dan Diploma yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pada tahun 2020 seramai 44,471 orang, manakala tahun 2019 seramai 50,193 orang, tahun 2018 pula seramai 51,332 orang dan pada tahun 2017 jumlahnya adalah seramai 47,889 orang.

 

Di sini kita dapat simpulkan bahawa keinginan para lepasan SPM untuk memasuki universiti awam senantiasa tinggi. Sudah semestinya cabaran yang di hadapi juga amat besar bukan saja dari universiti, tetapi juga dari pihak KPT. Sasaran KPT salah satunya sudah tentu untuk melahirkan pelajar yang bermodalkan insaniah. Para pelajar perlu memastikan bahawa bukan sahaja ilmu pengetahuan perlu dipelopori, tetapi dalam masa yang sama juga akhlak yang baik juga perlu dititikberatkan sejajar dengan falsafah pendidikan negara.

 

Sudah semestinya suasana pembelajaran di kampus amat berbeza dengan di sekolah. Walaupun pendekatan pembelajaran secara atas talian telah dipraktikkan semenjak bermulanya COVID-19, tetapi proses pengajaran dan pembelajaran tetap mempunyai kelainan.  Menurut Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Maritim, UMT, pembelajaran dalam talian memerlukan pelajar untuk mempunyai motivasi dan disiplin yang tinggi serta proaktif melalui pembelajaran kendiri. Para pelajar perlu cepat menyesuaikan diri dalam suasana baru, perlu lebih berdikari semasa sesi kuliah, dan perlu lebih kerap berkomunikasi secara 2 hala dengan rakan-rakan, pensyarah dan pengurusan universiti. Tiada lagi kebergantungan kepada cikgu atau pensyarah kerana mereka akan melayan anda sebagai orang dewasa.

 

Penggunaan teknologi dan keupayaan untuk akses dalam sistem juga perlu dititik beratkan agar pembelajaran dalam talian dapat berjalan dengan lancar. Menurut Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Maritim, UMT lagi sekali, kecekapan dalam menggunakan teknologi juga amat penting dalam mempersiapkan pelajar untuk mendepani cabaran arus Revolusi Industri 4.0. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar seiring dengan keperluan industri semasa dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

Hariyati Ariffin, bekas Pensyarah, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM/Penulis Bebas, telah menyatakan bahawa bagi mereka yang bakal bergelar Mahasiswa dan Mahasiswi universiti, mereka perlu melengkapkan diri sudut rohani dan jasmani kerana ianya dapat membantu para pelajar dalam mengharungi dunia baru di kampus dan universiti sebagai langkah pertama dalam merancang masa depan yang cemerlang. Selain daripada itu, pelajar juga perlu sentiasa berfikiran positif, mendisiplinkan diri dan jangan lupa lengkapkan diri dengan pegangan agama yang baik supaya dapat menjadi pendinding dan garis panduan dalam perilaku dan amalan ketika di universiti. Semoga anda semua menjadi graduan yang berilmu dan berakhlak, yang bakal meneraju negara ke arah kesejahteraan dunia sejagat.

 

Oleh yang demikian, peluang yang diperolehi jangan dilepaskan begitu saja. Jadikan suasana alam baru dan cabaran pandemik COVID-19 ini sebagai pemangkin untuk kejayaan pada masa hadapan. Jadilah pelajar yang cemerlang dan terbilang supaya dapat memberi sumbangan yang bermakna pada masa hadapan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan keluarga. - DagangNews.com

 

Oleh Maz Izuan Bin Mazalan
Pensyarah Kanan
Fa
kulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Melaka