Skip to main content

PropertyGuru: Utamakan keperluan golongan muda dalam Bajet 2021

 

 

 

KUALA LUMPUR, 28 Okt. – PropertyGuru hari ini menggesa kerajaan Malaysia agar mengutamakan keperluan golongan muda dan bakal pembeli rumah kali pertama dalam Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada November depan.

Portal hartanah terbesar di Malaysia itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, bajet 2021 perlu memberi fokus kepada penwujudan pekerjaan baharu bagi golongan pemacu ekonomi negara khususnya golongan muda serta pencari rumah kali pertama di negara ini.

Menurut Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, golongan muda kini berdepan dengan isu kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang menghalang mereka daripada memiliki hartanah sendiri biarpun terdapat banyak insentif serta peluang pinjaman sedia ada.

Berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna Malaysia PropertyGuru H2 2020 yang melibatkan 1,010 responden, sebanyak 39% dan 11% responden meluahkan rasa puas hati dengan inisiatif moratorium yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia dan Bantuan Prihatin Nasional untuk meringankan bebanan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Sheldon

Sheldon berkata, kajian tersebut menunjukkan golongan bakal pembeli rumah berusia antara 22 hingga 29 tahun serta golongan penyewa berkemungkinan besar akan membeli hartanah selepas pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan.

“Sebanyak 47% dan 51% daripada dua kumpulan responden tersebut telah menyatakan kehadiran wabak ini tidak akan melambatkan potensi pembelian hartanah mereka,” jelasnya.

Selain mengutamakan keperluan golongan muda, PropertyGuru turut berhasrat kerajaan akan meneruskan pemberian insentif digital dalam bentuk dana kepada projek-projek pilot aplikasi digital khususnya bagi golongan penggiat PropTech.

Langkah ini penting bagi membantu industri tersebut terus berinovasi, sekali gus mendorong meningkatkan kesedaran terhadap insentif-insentif lain sedia ada.

“Sebagai portal hartanah utama dan terbesar di Asia Tenggara, PropertyGuru telah menerajui pelbagai inisiatif PropTech seperti Pra Kelulusan Pinjaman PropertyGuru, PropertyGuru FastKey dan PropertyGuru Lens,” tambahnya sambil memberitahu PropertyGuru berfungsi sebagai hab yang menawarkan lebih 100 gabungan projek Kempen Pemilikan Rumah (HOC) memudahkan para pembeli mencari rumah impian masing-masing.

Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru yang dilancarkan pada 2009 dilaksanakan menerusi kerjasama agensi penyelidikan antarabangsa, Intuit Research Consultants dan melibatkan responden-responden khusus daripada golongan profesional, ahli-ahli eksekutif, golongan pengurus dan pemilik kerajaan. – DagangNews.com