Skip to main content

ProppyApp perkenal ciri baharu, mudahkan pengguna dan pelanggan perniagaan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. -  ProppyAppTM, portal hartanah semua dalam satu melancarkan versi terkini aplikasinya dengan empat ciri inovatif untuk mempertingkatkan pengalaman pengguna dan perniagaan pada platform tersebut.

 

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, ProppyApp, Evan Ngow berkata Omni-app membolehkan pengguna berhubung dengan penyedia perkhidmatan, peniaga, dan tukang pembaik pulih dengan mudah, pada masa yang sama menyediakan platform yang sesuai dan selamat di mana perniagaan dapat mempromosikan, menjual, menyewakan atau menyenaraikan hartanah dan perkhidmatan mereka di pasaran tempatan dan global.

 

“Matlamat kami ialah untuk membantu pemilik hartanah menguruskan hartanah mereka dengan cekap dan berkesan supaya mereka dapat membuat keputusan pelaburan yang lebih baik.

 

"Pada masa yang sama, kami menyediakan alat dan perkhidmatan yang inovatif untuk membolehkan perniagaan kecil dan sederhana mempromosikan, menjual, atau menyewakan hartanah dan perkhidmatan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, pada masa akan datang, ProppyApp akan menumpukan perhatian kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membangunkan dan mempertingkatkan produk, serta untuk membina kapasiti dan keupayaan pasukan yang berkebolehan, bagi mendukung aspirasi pertumbuhan syarikat.

 

Dalam pada itu beliau berkata, ciri-ciri perintis yang diperkenalkan merupakan tambahan kepada perkhidmatan berkait hartanah yang sudah begitu banyak terdapat di platform tersebut, serta memperkayakan pengalaman pengguna menerusi penyelesaian inovatif yang sebelum ini, tidak terdapat dalam industri hartanah. 

 

"Antara ciri baharu adalah 'Need' yang membolehkan pengguna membuat hantaran permintaan di bawah ProppyCares supaya para peniaga dan penyedia perkhidmatan dapat memberikan khidmat mereka mengikut permintaan pengguna.

 

"Pengguna boleh membuat permintaan bagi pelbagai jenis kerja dan perkhidmatan termasuklah kerja-kerja membaiki paip, perkebunan, mengecat, dan lain-lain lagi," katanya.

 

ProppyApp, adalah syarikat permulaan teknologi hartanah yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), data raya, dan lejar teragih untuk membantu rakyat Malaysia membuat keputusan berkaitan hartanah dengan baik.

 

Menerusi aplikasi tersebut, pengguna dapat berhubung secara terus dengan penyedia perkhidmatan yang diingini dari telefon pintar mereka.  -DagangNews.com