KUALA LUMPUR 23 Jun - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan prospek kewangan yang lebih kukuh untuk Cypark Resources Berhad selepas projek solar 2 bersakala bersar (LSS2), LSS3 dan projek sisa kepada tenaga (WTE) siap tahun ini.
Firma itu berkata, pembinaan projek WTE di Ladang Tanah Merah sudah siap tetapi kemudahan itu berada di peringkat akhir ujian dan pentauliahan, manakala loji pengasingan sisa (WSF) sedang menjalani peringkat operasi percubaan.
Kelewatan itu berlaku kerana ketibaan lewat pakar asing disebabkan sekatan perjalanan yang berpanjangan dan prosedur operasi standard yang ketat untuk membawa pakar asing yang diperlukan ke Malaysia.
Loji WTE itu dijangka ditauliahkan pada penghujung September 2022.
"Kami menjangkakan prospek kewangan yang lebih kukuh apabila projek LSS2, LSS3 dan WTE siap pada FY22.
"Selain WTE, projek solar fotovoltaik untuk baki 60 megawatt (MW) di bawah LSS2 di Danau Tok Uban dan 100MW di bawah LSS3 di Terengganu juga dijangka siap masing-masing pada akhir September dan Disember 2022.
"Perkembangan Cypark kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam beberapa tahun ini dilihat memberi kesan kepada kewangannya namum kami menjangkakan kunci kira-kiranya akan bertambah baik sebaik sahaja penjanaan aliran tunai bermula," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendanh RM1.01 berbanding RM1.35.
Firma itu turut mengurangkan unjuran keuntungan kumpulan sebanyak 20%, 39% dan 29% untuk FY22, FY23 dan FY24 selepas mengambil kira kelewatan pentauliahan projek WTE, LSS2 dan LSS3. - DagangNews.com