Prospek perdagangan global masih tidak menentu - UNCTAD | DagangNews Skip to main content

Prospek perdagangan global masih tidak menentu - UNCTAD


GENEVA 21 Okt. - Nilai perdagangan global dijangka jatuh 7 hingga 9% tahun ini berbanding tahun sebelumnya, di sebalik tanda-tanda pemulihan yang masih rapuh didahului China dalam suku ketiga 2020. 

Menurut Reuters, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) dalam laporannya berkata, tiada ada mana-mana wilayah yang terlepas daripada mengalami penurunan 19% tahun ke tahun memandangkan pandemik COVID-19 telah menjejaskan ekonomi. 

Bagaimanapun, perdagangan global pulih sedikit pada suku ketiga tetapi dianggarkan kira-kira 4.5% lebih rendah 
berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

"Dagangan bagi peralatan pejabat rumah dan bekalan perubatan menunjukkan peningkatan pada suku ketiga, namun sektor automatif dan tenaga terus lemah. Pertumbuhan untuk sektor tekstil pula semakin kukuh," katanya. 

Sebelum ini, laporan tersebut mengunjurkan pertumbuhan tahun ke tahun sekitar 3% untuk suku keempat 2020 tetapi masih wujud ketidaktentuan ekoran pandemik yang semakin meningkat. 

"Jika wabak ini meningkat untuk beberapa bulan akan datang, ia kemungkinan akan memberi kesan kepada pembuat dasar dan sekatan dagangan akan terus diperketatkan," jelasnya. 

UNCTAD berkata, eksport China kembali pulih dengan kukuh pada suku ketiga selepas beberapa bulan mengalami kemerosotan disebabkan pandemik COVID-19 dan merekodkan kadar pertumbuhan tahun ke tahun hampir 10%. 

Secara keseluruhan, menurut laporan itu, paras eksport China bagi tempoh 9 bulan pertama 2020 adalah setanding yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

"Permintaan China terhadap produk import juga kembali pulih selepas mengalami penurunan pada suku kedua berbanding ekonomi utama yang lain," katanya. 

Awal bulan ini, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menyemak semula unjuran perdagangan berikutan terdapat sedikit peningkatan pada Jun dan menjangkakan penurunan 9.2% pada 2020. 

Namun, ia akan menyaksikan pemulihan yang lemah pada 2021 berikutan perintah sekatan pergerakan disebabkan masih ada risiko berlaku gelombang kedua COVID-19. - DagangNews.com