Prospek Westports dalam masa terdekat kekal suram, MIDF Research kurangkan unjuran untung bersih FY22 | DagangNews Skip to main content

Prospek Westports dalam masa terdekat kekal suram, MIDF Research kurangkan unjuran untung bersih FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jan - MIDF Research menyemak naik penarafan Westports Holdings Bhd. kepada 'beli' berbanding 'neutral' sebelum ini berikutan prospek masa depannya yang lebih positif.

 

Firma itu turut mengekalkan harga sasaran hasil daripada aliran tunai terdiskaun (DCF) pada RM4.45 sesaham. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, prospek Westports dalam masa terdekat masih kekal suram di tengah-tengah isu kesesakan pelabuhan dan pelaksanaan Cukai Makmur. 

 

Tetapi, katanya, di sebalik sekatan pergerakan tahun lalu, didapati penurunan pemprosesan adalah kecil dan ini menunjukkan daya tahan dalam pendapatannya. 

 

"Tambahan pula, perjanjian konsesi Westports 2 yang dijangka dimuktamadkan pada akhir separuh pertama ini akan menjadi pemangkin kepada kumpulan. 

 

"Oleh itu, kami menaik taraf sahamnya kepada 'beli' setelah mengambil kira prospeknya yang lebih positif dan penurunan harga sahamnya baru-baru-baru ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Pendapatan Q4 Westport susut 7% kepada RM503.9 juta

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM2.02 bilion berbanding RM1.97 bilion tahun lalu yang menyaksikan segmen kontena menyumbang 88% kepada hasil operasi dengan volum pemprosesan sebanyak 10.4 juta TEU.

 

Pendapatannya bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 pula susut 6.9% kepada RM503.9 juta berbanding RM541.54 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, tetapi untung bersih meningkat 36.31% kepada RM222.88 juta berbanding RM163.5 juta. 

 

Pada FY21, kumpulan mengendalikan jumlah kontena yang lebih rendah sebanyak 10.4 juta TEU berbanding 10.5 juta TEU pada tahun sebelumnya ekoran prestasi suku keempat terjejas akibat malasah banjir yang menyebabkan pengurangan kapasiti tenaga kerja sebanyak 30%. 

 

Sehubungan itu, MIDF Research mengurangkan unjuran pertumbuhan pemprosesan kepada 5% tahun ke tahun memandangkan Westports masih beroperasi dengan kapasiti yang terhad. 

 

"Pengurangan ini mencerminkan anggaran jumlah kontena sebanyak 10.9 juta TEU bagi tahun ini manakala keuntungan selepas cukai bagi FY22 disemak turun sebanyak 5% kepada RM645.2 juta," jelasnya.

 

Setakat 9.14 pagi ini, saham Westports menokok 6 sen atau 1.53% kepada RM3.98 dengan 31,900 saham diniagakan. - DagangNews.com