Proton dipilih sebagai antara kenderaan rasmi Sukan Asia 2022 di bawah Geely Auto Group | DagangNews Skip to main content

Proton dipilih sebagai antara kenderaan rasmi Sukan Asia 2022 di bawah Geely Auto Group

KUALA LUMPUR 25 Jan - Proton dipilih sebagai antara kenderaan rasmi semasa penganjuran Sukan Asia Hangzhou 2022 sebagai sebahagian daripada jenama di bawah Geely Auto Group yang merupakan rakan prestij rasmi temasya sukan itu.

 

Proton Holdings Berhad dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja memberi peluang untuk mereka memberi sokongan kepada temasya sukan terbesar Asia itu tetapi akan membantu mengukuhkan jenama dari Malaysia itu di seluruh Asia.  

 

Sukan Asia edisi ke 19 itu akan diadakan di Hangzhou yang terletak di daerah Zhejiang, China bermula 10 hingga 25 September 2022.  

 

Difahamkan, model Proton Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 and X70 akan dipilih menjadi kenderaan rasmi semasa penganjuran Sukan Asia Hangzhou 2022.

 

Timbalan Ketu Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, firma itu menawarkan pendekatan baharu untuk menikmati Sukan Asia ke-19 iaitu menerusi penganjuran kempen buat pelanggan mereka.

 

"Temasya sukan terbesar Asia akan menjadi platform penting kepada Proton dan kami menyasarkan menghubungkan orang ramai dengan keterujaan terhadap sukan dan kenderaan kami," katanya.

 

Beliau berkata, bersempena dengan penganjuran Sukan Asia Hangzhou 2022, Proton akan mengadakan kempen “PROTON Ignite Your Life contest”.

 

Menerusi kempen itu pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah menarik bermula 1 Februari hingga 31 Julai 2022 menerusi tempahan atau pendaftaran model Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 or X70. 

 

"Pelbagai hadiah ditawarkan termasuk hadiah utama berupa perjalanan eksklusif ke Hangzhou untuk menikmati penganjuran itu secara langsung selain hadih bulanan seperti e-baucar untuk produk sukan," katanya. - DagangNews.com