Proton keluarkan 2,000 unit edisi khas X70 | DagangNews Skip to main content

Proton keluarkan 2,000 unit edisi khas X70

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Proton menambah varian baharu pada barisan model X70 hari ini untuk mengukuhkan lagi daya tarikan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C terlaris di Malaysia. 

 

Terhad kepada 2,000 unit, Proton X70 Edisi Khas diposisikan di bahagian atas barisan model Proton dan mempunyai ciri-ciri baharu yang mewah bersama dengan warna khas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, dengan penambahan Proton X70 Edisi Khas, Proton telah melebarkan lagi pasaran sasaran peringkat atas. 

 

“Walaupun ia adalah keluaran terhad, kami yakin bahawa ia akan menarik minat pembeli kereta mewah yang sedang mencari SUV baru pada harga yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

x70

 

Secara mekanikal, Proton X70 Edisi Khas mempunyai spesifikasi yang sama dengan varian Premium 2WD dan oleh itu ia juga menggunakan enjin 1.8L TGDi dan transmisi dwi-klac 7-kelajuan. 

 

Perbezaannya kali ini adalah ia hadir pada pakej gaya luaran dan hiasan dalaman untuk meningkatkan daya tarikannya.

 

x70

 

Proton X70 Edisi Khas ditawarkan dengan warna baharu iaitu Ocean Blue dan Ruby Red dan juga mempunyai atap, spoiler belakang dan cermin pintu yang diwarnakan hitam serta reka bentuk baru ‘sport rim’ 19 inci. 

 

Lambang SE eksklusif juga dipasang pada bahagian belakang sebagai sentuhan terakhir.

 

x70

 

Bagi memadankan warna hitam pada bahagian luar, bahagian dalaman juga berwarna hitam bersama perincian mewah yang menaikkan lagi suasana kabin. 

 

Ini juga termasuk tempat duduk kulit Nappa hitam yang lembut, kemasan hiasan dalaman dan tikar karpet khas SE yang baru.

 

x70

 

Sama seperti Proton X70 yang lain, Proton X70 Edisi Khas dilengkapi dengan Sistem Penulenan Udara Pintar PROTON (P-IAPS) yang menggabungkan kebaikan Penapis Kabin N95 dan sistem pembersihan udara untuk menawarkan perlindungan terhadap pencemaran bawaan udara.

 

Ia juga dilengkapi dengan senarai ciri keselamatan termasuk enam SRS bag udara dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang menambah lapisan keselamatan aktif bagi mengurangkan risiko kemalangan, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Kamera 360.

 

x70

 

Proton X70 Edisi Khas ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans RM123,800. 

 

Sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan, ia akan dijual dengan insentif cukai jualan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai RM7,000. 

 

x70

 

Edisi tersebut kini boleh ditempah secara dalam talian bermula harga serendah RM99 dan untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.proton.com- DagangNews.com