Proton, Perodua kekal pilihan utama pembeli | DagangNews Skip to main content

Proton, Perodua kekal pilihan utama pembeli

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Jenama kenderaan Proton dan Perodua dijangka kekal menjadi pilihan utama pembeli di negara ini. 

 

Ini susulan, kedua-dua jenama itu yang akan memacu jumlah jualan industri (TIV) bagi tahun ini untuk mencecah 580,000 unit, meningkat 10% daripada tahun lalu menurut unjuran CGS-CIMB Research. 

 

Firma penyelidik itu menjangkakan Proton dan Perodua bakal mencatatkan jualan lebih tinggi, masing-masing melonjak 20% dan 13% berbanding tahun lalu didorong oleh beberapa pelancaran model kereta baharu. 

 

“Sebagai contoh, Perodua baru-baru ini telah membuka tempahan bagi model SUV kompak baharunya, dijangka dilancarkan pada penghujung suku pertama 2021 (1Q21). 

 

“Kami menjangkakan harga SUV baharu Perodua bernilai antara RM62,500 hingga RM73,400, nilai tertinggi daripada julat harganya ketika ini iaitu antara RM24,000 hingga RM74,000.

 

“Walaupun TIV bagi Januari 2021 sedikit merosot, namun kami masih meramalkan jumlah jualan akan melonjak bermula Mac 2021 dan seterusnya, susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi selain permulaan program vaksinasi COVID-19 kebangsaan,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

 

TIV bagi bulan lalu merudum 24% daripada 42,942 pada Januari 2020 kepada 32,829 unit pada Januari 2021 susulan jumlah trafik ke bilik pameran yang lebih rendah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di enam buah negeri bermula 13 Januari 2021. 

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut melihat prestasi TIV itu didorong oleh pengguna yang menangguhkan hasrat pembelian kenderaan kepada Disember 2020 serta bekalan komponen dan bahan yang berkurangan dialami oleh beberapa kilang automotif.

 

MAA menjangkakan TIV bagi Februari 2021 menyusut berbanding Januari tahun ini susulan perayaan Tahun Baru Cina serta hari bekerja yang lebih singkat.

 

“Kami berpendapat sektor ini kekal dalam landasan tepat untuk mencatatkan pemulihan perolehan bagi 2021 dan mengunjurkan 60% pertumbuhan keuntungan bersih berbanding -39% bagi tahun lalu. 

 

“Walaupun pelaksanaan PKP 2.0 mungkin mendorong TIV yang lebih rendah bagi 1Q21 kerana kekurangan kehadiran pengunjung ke pusat pameran, namun kami masih menjangkakan TIV akan melonjak semula bermula 2Q21 memandangkan kami masih optimistik (secara berhati-hati) terhadap pemulihan yang lebih kukuh dalam aktiviti ekonomi dengan pengedaran vaksin COVID-19 secara meluas. 

 

“Kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor automotif malaysia dengan DRB-Hicom dan UMW menjadi pilihan utama,” tambah CGS-CIMB lanjut. - Dagangnews.com