Proton ‘tawan’ penguasaan pasaran automotif tertinggi sejak 2013 | DagangNews Skip to main content

Proton ‘tawan’ penguasaan pasaran automotif tertinggi sejak 2013

PENGUNJUNG yang hadir ke bilik pameran Proton sebelum tempoh PKP.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Penguasaan pasaran atau market share automotif Proton terus melonjak kepada paras tertinggi sejak September 2013 iaitu 27.1%. 

 

Ini adalah susulan jenama itu mencapai jualan paling tinggi bagi bulan Februari dalam tempoh lebih 10 tahun, 11,873 unit melibatkan pasaran tempatan dan eksport, menurut Proton. 

 

Jelas Proton, pencapaian pada bulan Februari telah berjaya ke tahap yang tidak pernah dicatatkan selama tempoh beberapa tahun lalu.

 

“Secara keseluruhan, Proton mengakhiri Februari di tangga kedua selepas menambah jualan hampir dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada bulan Januari. 

 

“Berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020 pula, jumlah jualan meningkat sebanyak 19.9%, manakala jumlah kumulatif dua bulan pertama 2021 masih kurang 643 unit atau 3.5% berbanding dengan tahun lepas,” jelas Proton dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Tambah kenyataan itu, lebih daripada 30,000 tempahan bagi model X50 diterima sebelum akhir tahun, tetapi masa menunggu penghantaran telah meningkat akibat kelewatan yang dialami di barisan pengeluaran dan fokus syarikat kepada kualiti.

 

Proton X50
LEBIH daripada 30,000 tempahan bagi model X50 diterima sebelum akhir tahun.

 

Selepas 3,345 unit dihantar pada bulan Februari, sebanyak 8,141 unit kini berada di tangan pembeli dan kadar bekalan semakin mendekati jumlah permintaan, Proton ulas lanjut. 

 

Jelas jenama kenderaan itu, pencapaian berkenaan adalah jumlah terbesar bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam sejarah Malaysia dan sekali gus membolehkan Proton X50 diberi gelaran SUV paling laris bagi segmennya dan secara keseluruhan. 

 

Menurutnya lagi, apabila jualan sebanyak 1,475 unit Proton X70 (jumlah tertinggi bagi SUV segmen-C) pula ditambah ke jumlah kumulatif, syarikat berjaya menjual sebanyak 4,820 unit SUV pada bulan Februari, hasil terbaik pernah dicapai dalam sejarah pasaran automotif negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Februari adalah bulan yang penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia tetapi ia memberi keputusan cemerlang bagi Proton. 

 

Roslan Abdullah
Roslan Abdullah

 

“Atas semua usaha kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi boleh berterusan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat berjaya menghasilkan lebih kenderaan dan ini mengurangkan tunggakan pesanan kami. Ini amat penting kerana kami perlu menghantar kenderaan ke pembeli secara konsisten untuk mengelakkan keadaan huru-hara apabila insentif Penjana berakhir pada 30 Jun tahun ini. 

 

“Segmen automotif akan terus menarik perhatian pembeli pada 2021 dengan banyak pelancaran baharu daripada pelbagai jenama, sekali gus mendorong persaingan antara Proton dan syarikat lain, tetapi kami akan terus bersikap berhati-hati dalam semua usaha kami untuk mengelakkan kadar infeksi meningkat semula,” katanya dalam kenyataan sama. 

 

Bagi bulan lalu, Proton Saga masih mengekalkan model yang paling laris apabila sebanyak 4,217 unit telah dijual. 

 

Saga
MODEL Proton Saga R3 yang dikeluarkan dalam jumlah terhad.

 

Model itu juga menerima gelaran model pertama Proton dijual di Kenya apabila kenderaan yang dipasang siap di sana oleh rakan perniagaan Proton, Simba Corporation, dilancarkan pada 25 Februari, tambah Proton. 

 

Sementara itu, gelaran sedan segmen-B terlaris berjaya disandang oleh Proton Persona setelah 1,818 unit dijual, mengalahkan saingan daripada model-model yang lebih baharu, ujar Proton.

 

Menurutnya lagi, Proton Exora pula kekal di tangga teratas bagi MPV segmen-C, manakala Proton Iriz di tempat ketiga bagi hatchback segmen-B.

 

Dalam pada itu, Proton juga melancarkan empat model edisi istimewa pada bulan Mac iaitu Proton Persona dan Exora Black Edition serta Proton Saga dan Iriz R3 Limited Edition, akan dibina secara terhad dan telah dilancarkan dalam talian pada 18 Februari. 

 

Proton
EMPAT model edisi terhad Proton yang ditawarkan kepada pasaran

 

Hanya 3,500 unit akan ditawarkan ke pasaran dan pada 26 Februari, sebanyak 1,169 tempahan sudah diterima, jelas Proton lanjut. 

 

Bagi prospek strategi 10 tahun syarikat, Proton memerlukan syarikat untuk membaik pulih beberapa operasi untuk mencapai kejayaan antaranya kualiti pengeluaran perlu ditingkatkan serta merta dan ketika ini, markah kualiti Proton hampir setanding rakan kongsinya, Geely. 

 

Tambah Roslan, Proton mengakui beberapa aktiviti perniagaan mereka tidak mampu mencapai ke tahap kejayaan yang direkodkan beberapa tahun lepas. 

 

“Walaupun kualiti pengeluaran, imej jenama dan teknologi yang ditawarkan dalam kenderaan kami telah meningkat, servis lepas jualan tidak berjaya bergerak ke hadapan pada kadar yang sama. Memburukkan keadaan lagi adalah wabak COVID-19 dan keputusan untuk melabur dalam sistem pesanan dan hantaran yang baharu pada 2020. 

 

“Akibatnya, kami telah mengalami masalah integrasi dan ini menyebabkan kelewatan bagi pelanggan yang memerlukan khidmat pembaikan kemalangan serta khidmat servis dijadualkan. 

 

“Pihak Proton sedang bekerja tanpa henti untuk mengatasi situasi ini secepat mungkin tetapi buat masa kini, saya mendesak semua pelanggan Proton yang sedang menghadapi kelewatan untuk membuat panggilan ke talian perkhidmatan pelanggan kami di 1- 800-88-8398,” jelasnya lagi. - DagangNews.com