PSP PERKESO diperluas ke semua negeri PKPB | DagangNews Skip to main content

PSP PERKESO diperluas ke semua negeri PKPB

 

 

PUTRAJAYA, 21 Okt. – Program Saringan Prihatin (PSP) PERKESO akan diperluaskan kepada semua pencarum PERKESO termasuk pekerja asing dan tempatan dalam semua industri di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) – Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Selangor dan Putrajaya mulai 22 Oktober ini.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, para pekerja boleh menjalankan saringan Covid19 secara percuma melalui panel perkhidmatan lantikan PERKESO.

“Proses saringan boleh dilakukan di klinik, makmal ataupun di premis kerajaan tetapi pihak majikan perlu membuat temu janji awal dan mengemukakan maklumat yang lengkap kepada panel perkhidmatan PERKESO (http://psp.perkeso.gov.my) ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, PERKESO akan membayar balik subsidi sehingga RM150 bagi setiap pekerja yang telah menjalani saringan Covid19.

Namun, hanya saringan yang dilakukan melalui panel perkhidmatan akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.

Selain panel perkhidmatan, saringan Covid19 untuk para pekerja juga boleh dijalankan melalui kaedah Subsidi Saringan Prihatin menerusi majikan masing-masing.

“Kos saringan pekerja perlu dibayar oleh pihak majikan terlebih dahulu dan permohonan untuk Subsidi Saringan Covid19 boleh dikemukan berserta resit bayaran melalui portal https://psp.perkeso.gov.my,” jelasnya.

Bagi memastikan semua proses ujian saringan berjalan dengan lancer, pihak majikan dan pekerja masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089 atau diemelkan ke hsp@perkeso.gov.my. – DagangNews.com