Public Investment jangka projek LRT akan jadikan Johor Bahru bandar bertaraf antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Public Investment jangka projek LRT akan jadikan Johor Bahru bandar bertaraf antarabangsa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - Public Investment Bank Berhad menjangkakan projek pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) akan mengubah Johor Bahru menjadi sebuah bandar metropolis baharu bertaraf antarabangsa.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek pembangunan baharu itu menyaksikan Nylex (M) Berhad dengan kerjasama LBS Bina Group Berhad akan membangunkan projek itu bagi menghubungkan Singapura dan Johor Bahru. 

 

Katanya, menerusi cadangan pembangunan itu juga, LBS akan menjana pendapatan daripada tiga lot tanah bersebelahan berkeluasan 5.5 ekar dan tanah itu dikatakan sangat strategik kerana berada dalam kawasan komersial Jalan Dato Dalam di tengah-tengah bandar Johor Bahru dan berada di dalam Zon A Iskandar Malaysia.

 

"Perincian mengenai projek itu masih belum diperolehi namun kami positif terhadap LBS yang boleh menjana pendapatan menerusi tiga lot tanah di Johor dana kerjasama itu juga akan memanfaatkan kepakaran BTS Group Holdings yang dikatakan terlibat dengan perniagaan transit besar-besaran di Thailand.

 

"Pada masa sama, projek pembangunan LRT itu akan menjadikan Zon A Iskandar Malaysia sebagai hab pengangkutan selepas ia dilengkapi Terminal Feri Antarabangsa untuk laluan ke Singapura dan Indonesia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

feri

 

Menerusi perjanjian yang diadakan, BTS akan rakan sekutunya akan membekalkan peralatan dan sistem bersepadu untuk projek itu selain menjadi kontraktor utama untuk operasi serta penyelenggaraan.

 

Dalam pada masa sama, LBS atau rakan sekutunya akan dipilih sebagai kontraktor awam dan pembinaan untuk projek itu.

 

Projek LRT itu sedang menjalani proses kajian kebolehlaksaan dengan abggaran kapasiti penumpang 15,000 penumpang setiap jam sepadan dengan kemampuan RTS Link yang sedang dibina dari Singapura ke Johor Bahru.

 

Projek LRT itu boleh menjangkau jarak 75km dengan fasa awal projek LRT di pusat bandar Johor Bahru adalah kira-kira 9km.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap jangkaan pendapatan kumpulan LBS dan kekal dengan saranan 'outperform' dengan sasaran harga (TP) tidak berubah iaitu RM0.69 selepas mengambil kira potongan 50% terhadap Aset Bersih yang Dinilai Semula (RNAV). - DagangNews.com