Public Investment kekal saranan 'neutral', prestasi Q4 Genting Plantations dijangka kukuh | DagangNews Skip to main content

Public Investment kekal saranan 'neutral', prestasi Q4 Genting Plantations dijangka kukuh

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Public Investment Bank Research menjangkakan Genting Plantations Bhd. akan merekodkan prestasi kewangan yang kukuh pada suku keempat ini dengan mengambil kira harga minyak mentah sawit (MSM) semasa.

 

Bagaimanapun, penganalisisnya, Chong Hoe Leong berkata, syarikat perladangan itu menjangkakan pengeluaran tandan buah segar kekal tidak berubah pada tahun ini disebabkan faktor keadaan cuaca yang lembap di Kalimantan Barat dan Tengah menjejaskan aktiviti penuaian dan pengangkutan. 

 

Namun, katanya, pengeluaran tandan buah segar akan meningkat sekitar 5 hingga 8% pada tahun hadapan.

 

"Kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun hadapan juga dijangka meningkat kira-kira 10 hingga 15%.

 

"Malah, ia juga menyasarkan untuk melaksanakan tanaman semula membabitkan 4,000 hektar ladang sawit pada tahun hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih Genting Plantations melonjak 67% kepada RM102.22 juta pada suku ketiga berakhir 30 September berbanding RM61.38 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan peningkatan harga produk minyak sawit.

 

Pendapatan pada suku berkenaan juga meningkat 14% kepada RM732.832 juta daripada RM645.56 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan kukuh itu disumbangkan menerusi segmen perladangan yang mencatat prestasi lebih baik disokong peningkatan harga produk minyak sawit.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September, untung bersih meningkat 54% kepada RM270.58 juta daripada RM175.31 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 17% kepada RM2.06 bilion.

 

Di sebalik keputusan setahun penuh berada di bawah jangkaannya, Public Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Genting Plantations dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.23.

 

Setakat 10.46 pagi, harga saham Genting Plantations kekal tidak berubah pada RM6.94. - DagangNews.com