Public Investment mulakan liputan terhadap Reservoir Link Energy dengan pandangan 'outperform', TP 42 sen | DagangNews Skip to main content

Public Investment mulakan liputan terhadap Reservoir Link Energy dengan pandangan 'outperform', TP 42 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Jun - Public Investment Bank Research memulakan liputan Reservoir Link Energy Bhd. (RL) dengan pandangan 'outperform' pada harga sasaran (TP) 42 sen sesaham. 

 

RL merupakan penyedia perkhidmatan telaga minyak dan gas (O&G) yang menyokong operator dalam segmen huluan merangkumi semua aspek penerokaan, penilaian, pembangunan, pengeluaran serta segmen palam dan telaga dalam industri.

 

Menurut firma itu, prospek RL dalam segmen berkenaan kekal menggalakkan terutama dengan harga minyak kekal stabil melebihi AS$100 setong, yang secara tidak langsung akan menyaksikan lebih banyak kontrak berkaitan O&G dalam pasaran.

 

Sehubungan itu, ia menjangkakan kumpulan akan kembali mencatat keuntungan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 selepas merekodkan kerugian bersih teras pada suku pertama berikutan peningkatan aktiviti selepas musim tengkujuh. 

 

"Prestasi lebih baik ini juga akan disokong nilai kontrak O&G tertunggak sebanyak RM134.9 juta. 

 

"Kami percaya lebih banyak pelaburan akan dibuat pada suku akan datang bagi memenuhi jangkaan keseluruhan perbelanjaan modal (capex) Petronas bagi tahun penuh berjumlah RM40 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dengan pengalaman selama 14 tahun dalam industri, RL telah membina kerjasama yang baik dengan pemain O&G bereputasi tinggi seperti Petronas Carigali, PTTEP, Exxon Mobil, Shell dan Enquest Petroleum.

 

Malah, kumpulan juga bukan sahaja menyediakan perkhidmatan telaga dalam pasaran domestik, tetapi di peringkat antarabangsa seperti Vietnam dan Mauritania.

 

Menurut Public Investment, penglibatan RL dalam industri solar menerusi pengambilalihan 51% kepentingan dalam Founder Energy adalah tepat memandangkan kepentingan keperluan tenaga boleh diperbaharui (RE) semakin meningkat di Malaysia. 

 

Katanya, urus niaga itu datang dengan jaminan keuntungan selama 24 bulan, mengehadkan risiko penurunan.

 

"Potensi pertumbuhan dalam segmen ini juga kekal meluas sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencapai gabungan penjanaan sebanyak 31% daripada RE menjelang 2025 manakala 40% menjelang 2035 di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (MyRER)," jelasnya. 

 

Setakat 12.30 tengah hari ini, harga saham RL menokok 0.5 sen atau 1.41% kepada 36 sen dengan 97,900 saham diniagakan. - DagangNews.com