Public Investment ulangi saranan 'neutral' terhadap Yong Tai, TP 16 sen | DagangNews Skip to main content

Public Investment ulangi saranan 'neutral' terhadap Yong Tai, TP 16 sen

Encore Melaka masih lagi ditutup dan kini memasuki bulan ke-21.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov - Public Investment Bank Research mengulangi saranan 'neutral' terhadap Yong Tai Bhd. berikutan kurangnya pemangkin kepada penarafan semula dalam jangka masa pendek.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM5.6 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2021, meneruskan prestasi lemah suku sebelumnya. 

 

Ini disebabkan kesan daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dan fasa awal Pelan Pemulihan Negara pada suku dikaji. 

 

Keadaan itu menyebabkan sumbangan berkaitan pembangunan turut terbantut, semakin membebankan lagi kesan negatif daripada penutupan berterusan teater Encore Melaka yang kini memasuki bulan ke-21.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran kami setakat ini, dengan menjangkakan pemulihan lebih kukuh dalam sektor pelancongan pada 2022. 

 

"Ini turut didorong kemajuan ketara dalam usahanya berkaitan vaksin dan perlombongan emas yang menyaksikan penurunan pendapatan mengecil dengan ketara," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi usaha niaga berkaitan vaksin, kumpulan semakin menghampiri langkah pengkomersialan (menjelang awal 2022) kerana pengurusan menunjukkan kemajuan dalam percubaan Fasa 3, dan kemungkinan mendapatkan permohonan kelulusan daripada Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA). 

 

Mengenai usaha perlombongan emasnya pula, Yong Tai menyambung semula kerja-kerja penerokaan dengan pengeluaran dijangka dimulakan secara berperingkat pada FY22 ini.

 

Public Investment bagaimanapun membuat pelarasan sebahagian harga sasaran (TP) pada 16 sen (daripada 24 sen) berdasarkan pengumuman kumpulan baru-baru ini mengenai langkah pengumpulan modal berjumlah RM180 juta.

 

"Pengurusan menjangkakan tranche peringkat pertama akan diterbitkan pada suku pertama 2022, sekiranya tiada sebarang perkara di luar jangka," jelasnya. 

 

Setakat 12.20 tengah hari ini, harga saham Yong Tai tidak berubah pada 12 sen sesaham. -DagangNews.com