PublicInvest beri penarafan 'outperform' di sebalik kontroversi AirAsia X | DagangNews Skip to main content

PublicInvest beri penarafan 'outperform' di sebalik kontroversi AirAsia X

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Public Investment Bank Research menyemak naik penarafan AirAsia X Bhd. kepada 'outperform' dengan harga sasaran 13 sen di sebalik pelan penstrukturan semula hutang yang dilaksanakan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh AirAsia itu.

 

Sebelum itu, firma tersebut memberi saranan 'neutral' kepada AirAsia X yang berdepan masalah kewangan serius terutamanya disebabkan pandemik COVID-19.

 

Penganalisisnya, Danny Oh berkata, pemegang saham mungkin perlu melalui keseluruhan proses korporat (terbitan hak) untuk melihat manfaat sepenuhnya daripada pelan penyusunan semula tersebut.

 

Katanya, sokongan yang diberikan pemegang saham pada minggu sebelumnya mengatasi jangkaan pasaran, sekali gus memberi kelegaan kepada kumpulan untuk melihat prospek masa depan.

 

"Penstrukturan semula hutang akan mengurangkan tahap penggearan AirAsia X kepada sifar dan membolehkannya bermula pada tahap yang bersih.

 

"Dengan langkah pengumpulan dana dijangka selesai pada suku kedua 2022, kumpulan akan mempunyai dana mencukupi untuk memulakan operasi ke semua destinasi dalam pasaran terpilih pada akhir tahun hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Ketika ini, harga saham AirAsia X diniagakan pada nilai 7.5 sen setelah susut sehingga 21.1% pada 1 November lalu apabila syarikat penerbangan ini diklasifikan sebagai syarikat bermasalah.

 

Dikategorikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), ia memberi masa setahun kepadanya untuk menyusun semula kedudukan kewangan atau berisiko hilang status penyenaraian.

 

Menurut Oh, dalam taklimat kepada penganalisis pada Jumaat lalu, kumpulan kini akan memberi fokus kepada laluan yang berasaskan kargo bagi mengurangkan ketidaktentuan akibat pandemik dan kemungkinan membawa penumpang lain.

 

Ini kerana katanya, penerbangan sedemikian yang dilakukan kumpulan dalam tempoh 2 suku yang lalu dengan sedikit atau tiada penumpang telah terbukti berdaya maju dari segi ekonomi, dengan struktur kos yang lebih kecil.

 

"Dalam tempoh 18 bulan lalu, ketika situasi pandemik memburuk, hasil daripada kargo banyak membantu mengurangkan kerugian syarikat penerbangan. 

 

"Apabila penularan wabak ini dapat dikawal dengan lebih baik, ia akan menyaksikan kewangan syarikat penerbangan juga semakin baik, justeru, model perniagaan ini adalah berasas," jelasnya.

 

Ini membolehkan beliau menyemak semula unjuran ke atas kumpulan yang mencerminkan kemajuan ketara terhadap pelan pemulihan AirAsia X, struktur kos lebih rendah dan juga sumbangan lebih menerusi perniagaan kargo udara.

 

AirAsia X terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan kebanyakan pesawatnya tersadai sejak Mac 2020 hingga menyebabkannya berdepan kekangan kewangan bagi memenuhi tuntutan bayaran hutang dan komitmen kewangan yang lain.

 

Bagi menghidupkan semula perniagaannya, syarikat memulakan pelan penyusunan semula terdiri daripada penstrukturan semula cadangan hutang, korporat dan cadangan pengumpulan modal bagi mencapai struktur hutang yang mampan dan membuka jalan kepada modal baharu untuk memulakan semula operasinya apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.

 

Pada 12 November lalu, AirAsia X mengumumkan cadangan penstrukturan hutangnya di bawah Skim Pengaturan mendapat 99% sokongan daripada pemiutang. 

 

Susulan itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menggesa AirAsia X menilai semula cadangannya untuk menganggap pengguna perjalanan udara sebagai pemiutang dan hanya membayar 0.5% daripada nilai tiket yang dibeli seperti yang diumumkan pada 18 Oktober 2021.

 

Jika syarikat penerbangan ini gagal membayar balik pengguna perjalanan udara yang terjejas dengan sewajarnya, Mavcom tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasanya di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

 

Namun, AirAsia X dalam kenyataan pada 15 November lalu memberi jaminan kepada para pengguna yang terjejas dengan penstrukturan semula ini bahawa kumpulan akan menawarkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit. 

 

Ia boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan pada masa hadapan sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula. 

 

AirAsia X bagaimanapun berkata, kelayakan dan kredit perjalanan ini hanya boleh berlaku jika ia berjaya dalam penstrukturan semula mengikut syarat skim pengaturan.

 

Sekiranya syarat skim ini tidak dipatuhi dan gagal dilaksanakan, AirAsia X akan dibubarkan dan pengguna tidak akan menerima sebarang kelayakan serta memilih untuk tidak meletakkan mereka dalam situasi ini. - DagangNews.com