PublicInvest naikkan unjuran harga minyak sawit lebih tinggi tahun ini pada RM5,000 satu tan | DagangNews Skip to main content

PublicInvest naikkan unjuran harga minyak sawit lebih tinggi tahun ini pada RM5,000 satu tan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Mei - Harga minyak sawit mentah dijangka kekal tinggi pada separuh pertama 2022 ekoran krisis bekalan minyak sayur-sayuran yang masih berterusan disebabkan ketegangan geopolitik dan sekatan Indonesia terhadap eksport minyak sawit. 

 

Ini mendorong Public Investment Bank Research (PublicInvest) menyemak semula unjuran harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi tahun ini kepada RM5,000 satu tan metrik daripada RM4,300 satu tan metrik. 

 

Firma itu mengakui tidak menjangkakan masalah kekurangan bekalan minyak sayur-sayuran global telah menyebabkan kenaikan dalam semua komoditi.

 

"Namun, kami berpendapat, harga minyak sawit mentah akan kekal kukuh pada separuh pertama, sebelum menurun kepada serendah RM4,000 satu tan metrik menjelang akhir tahun ini. 

 

"Pengeluaran akan meningkat pada tempoh itu apabila pekerja asing mula kembali ke Malaysia di tengah-tengah musim pengeluaran yang tinggi beserta permintaan perlahan daripada negara pengguna utama minyak sayur-sayuran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah bagi 2023 pada RM3,800 satu tan metrik.

 

Sebarang kemungkinan untuk menarik balik larangan eksport minyak sawit Indonesia akan memberi kesan negatif kepada pergerakan harga minyak sawit mentah. 

 

Pada ketika nota kajian ini ditulis, niaga hadapan MSM didagangkan pada RM6,049 satu tan metrik dengan purata pada RM5,918 satu tan metrik setakat ini.

 

Kumpulan perdagangan Kesatuan Eropah (EU) menyatakan situasi bekalan minyak bunga matahari semakin bertambah baik sejak beberapa minggu kebelakangan ini sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang mencetuskan pembelian panik merentasi rantaian bekalan.

 

Ukraine merupakan negara pengeluar minyak bunga matahari terbesar di dunia, menyumbang 48% daripada bekalan minyak bunga matahari global.

 

Menurut PublicInvest, situasi krisis minyak sayuran global berkemungkinan bertambah baik pada separuh kedua apabila pengeluaran meningkat manakala permintaan mungkin akan melemah dalam tempoh terdekat.

 

"Harga minyak boleh dimakan, yang telah melonjak sejak Februari lalu berikutan ketegangan geopolitik dan larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia sejak 28 April lalu, akan mengalami pembetulan sehingga 20% jika tiada sebarang halangan.

 

"Kami berpendapat harga minyak sawit mentah telah memuncak dan kami menjangkakan untuk melihat pembetulan dalam tempoh 3 bulan akan datang," jelasnya.

 

Memandangkan harga minyak sawit mentah sudah mencapai kemuncaknya, firma itu menyemak turun penafaran sektor perladangan kepada 'neutral' daripada 'overweight' sebelum ini.

 

Malah, ia juga mengurangkan harga sasaran (TP) bagi syarikat perladangan di bawah liputannya yang menyaksikan TP Kuala Lumpur Kepong Bhd. dikurangkan kepada RM26.62 diikuti TSH Resourses Bhd. (RM1.48), Ta Ann Holdings Bhd. (RM5.16). - DagangNews.com