PublicInvest 'neutral' dengan AirAsia, status PN17 masih membimbangkan | DagangNews Skip to main content

PublicInvest 'neutral' dengan AirAsia, status PN17 masih membimbangkan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jan - Public Investment Bank Research (PublicInvest) mengesyorkan supaya para pelabur menanti penjelasan selanjutnya mengenai pelan pemulihan semula AirAsia Group Bhd., justeru, mengulangi pandangan 'neutral'.

 

Malah, ia juga mengekalkan harga sasaran tidak berubah pada 79 sen sesaham meskipun perniagaan bukan penerbangannya dilihat menarik.

 

"Walaupun permintaan kian meningkat, tetapi kami masih bimbang mengenai status Nota Amalan 17 (PN17) kumpulan dan cabaran yang akan dihadapi untuk keluar daripada situasi tersebut," jelas penganalisisnya, Denny Oh dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 13 Januari lalu, Bursa Malaysia Securities Bhd. mengumumkan AirAsia telah diklasifikasikan
sebagai syarikat bermasalah sejajar dengan Perenggan 2.1(a) dan 2.1(e) Nota Amalan 17 (PN17) dalam Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities.

 

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia sedang merangka pelan untuk menyelaraskan situasi kewangannya bagi menangani status PN17 dan pengumuman yang berkaitan akan dibuat dalam masa terdekat.

 

Portfolio kumpulan yang kukuh dan pelbagai akan membolehkannya menjejaki penyelarasan kedudukan kewangannya dengan cepat dan telah mengesahkan daya maju perniagaannya yang kukuh pada masa depan.

 

Dalam pada itu, Sijil Pengendali Udara disatukan (AOC) AirAsia yang dikeluarkan semalam mencatatkan faktor muatan dan kapasiti tertinggi sejak permulaan pandemik COVID-19, masing-masing pada 80% serta 3.4 juta menjelang suku keempat 2021.

 

Jumlah penumpang yang dibawa telah melonjak 103% kepada 2.7 juta dari tahun ke tahun pada suku keempat 2021, melepasi peningkatan kapasiti sebanyak 70%, yang membawa kepada pertambahan 13 peratusan dalam faktor muatan kepada 80%.

 

Ia juga menunjukkan faktor beban bagi AOC yang disatukan kekal sihat pada 74% pada 2021, dengan pelaksanaan strategi yang bertujuan menguruskan pelbagai penguncupan yang mengganggu yang dikenakan oleh kerajaan masing-masing.

 

Menurut Oh, peningkatan ini didorong permintaan yang kukuh apabila sekatan pergerakan dilonggarkan pada suku keempat dan juga pengenalan gelembung pelancongan tanpa kuarantin di Malaysia.

 

"Peningkatan ini dijangka berterusan berikutan pengumuman kerajaan untuk menyambung semula Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura mulai 24 Januari 2022," katanya.

 

Setakat 12.15 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 0.05 sen atau 0.85% kepada 58.5 sen dengan 2.73 juta saham diniagakan. - DagangNews.com