Pupuk@AEON sasar 'lebarkan sayap' 100 usahawan mikro hingga penghujung 2021 | DagangNews Skip to main content

Pupuk@AEON sasar 'lebarkan sayap' 100 usahawan mikro hingga penghujung 2021

 Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin (kiri) bersama Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin (kiri) bersama Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Program pemerkasaan usahawan melalui pendigitalisasi Pupuk@AEON meletakkan sasaran permulaan untuk membantu 'melebarkan sayap' 100 usahawan mikro hingga penghujung tahun ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, sasaran permulaan itu bagaimanapun akan dikembangkan pada masa akan datang.

 

Shafie Shamsuddin
Shafie Shamsuddin 

 

"Sebenarnya target permulaan adalah seramai 100 saat ini, kita akan mulakan secara kecil tetapi apabila sudah menjadi satu contoh yang baik kita akan menambah lagi. 

 

"Kita menjanjikan program ini selama lima tahun, bererti kita nak tambah lebih ramai lagi pengusaha-pengusaha. Maka untuk tahun ini, kita nak cuba 100 dahulu, jadi akhir tahun ini kita akan kira lagi apakah kualiti yang dapat kita bangunkan bersama itu ada atau tidak, dan selepas itu kita sambung lagi. 

 

"Kita targetkan hingga 2025, inilah harapan kita. Kerana kita akan memberikan lebih besar ekosistem untuk digunakan," katanya dalam satu sidang media pelancaran Pupuk@AEON yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (Pupuk) mula diumumkan pada 28 Jun 2021 bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai.

 

Program yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Fokus Kedua Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) itu memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk PMKS dan RM100 juta untuk PKS.

 

Pupuk@AEON yang merupakan kolaborasi antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan AEON Co. (M) Bhd (AEON) itu dibangunkan dengan empat tujuan utama.

 

Ia dibangunkan dengan tujuan untuk membangunkan usahawan mikro berkaitan pelan hala tuju peruncitan, meningkatkan penggunaan digital usahawan mikro, keusahawanan sebagai gaya hidup, dan pemulihan ekonomi dalam aspek perkembangan perniagaan dan peluang pekerjaan.

 

Dalam pada itu, usahawan yang terlibat akan dibantu dengan pelan hala tuju peruncitan yang jelas melibatkan nilai sokongan AEON sekitar RM50,000 kepada setiap usahawan.

 

Usahan mikro juga turut diberi bantuan bagi mendapatkan pensijilan, peningkatan pengeluaran sehinggalah aspek pengeksportan ke pasaran AEON di ASEAN.

 

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, inisiatif Pupuk yang diumumkan Perdana Menteri meletakkan SKMM sebagai pengkoordinasi utama.

 

Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek
Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek 

 

Dengan peranan tersebut, SKMM telah bekerjasama dengan platform digital, syarikat-syarikat telekomunikasi dan agensi kerajaan yang juga menjalankan aktiviti untuk membantu usahawan kecil.

 

Bagi Pupuk@AEON pula, beliau berkata, program berkenaan salah satu kerjasama yang dijalinkan antara SKMM dengan AEON sebagai inisiatif untuk membantu usahawan kecil yang terkesan akibat ekonomi.

 

Dalam pada itu, peluang tersebut juga adalah untuk membantu usahawan yang berkebolehan, namun tidak tahu cara untuk melebarkan lagi usaha perniagaan terutamanya dalam bidang peruncitan.

 

"Mereka menyediakan produk-produk yang sememangnya bagus, tetapi mungkin tiada kapasiti, tidak begitu mahir dalam pasaran dan kadangkala pembungkusan mereka tidak menarik.

 

"Jadi dengan adanya kerjasama seperti ini, mereka (usahawan) boleh dipupuk dan daripada usahawan kecil boleh terus berdaya saing dan menjadi usahawan yang besar.

 

"Justeru, menerusi program Pupuk@AEON, kami harap ia dapat membuka peluang kepada usahawan-usahawan kecil melalui 'touch point' kami iaitu Pusat Internet Komuniti yang akan berperanan sebagai titik sentuh bagi menjual produk mereka di pasaraya AEON secara fizikal atau digital," jelas beliau.

 

Usahawan yang terlibat turut diberi bimbingan untuk mengenali tatacara pemasaran terkini selain bimbingan untuk menjalankan pernigaan di ruang pasaraya AEON. - DagangNews.com