Skip to main content

Pusat beli-belah 1 Utama dibuka semula esok - Ismail Sabri

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan kompleks beli-belah 1 Utama Mall kembali beroperasi semula bermula esok.

“Dengan langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang telah diambil oleh pihak pengurusan kompleks serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), sidang khas hari ini bersetuju membenarkan kompleks 1 Utama Mall kembali beroperasi semula bermula 17 Oktober 2020,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar hari ini. 

Pada 11 Oktober lalu, pusat beli-belah itu ditutup bagi tujuan saringan COVID-19 kepada semua pekerja dan melakukan aktiviti pembasmian kuman.

Sehingga 15 Oktober 2020, seramai 6,000 termasuk pekerja, penyewa dan petugas serta 110 pengunjung di kompleks itu telah disaring oleh KKM.

“Mereka yang didapati positif telah dihantar ke hospital untuk rawatan, kontak tidak bergejala pula telah dikuarantin selama 14 hari manakala yang bergejala telah diarahkan untuk pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran,” tambah Ismail Sabri.

Dalam perkembangan lain, bagi negeri Selangor, solat Jumaat serta semua aktiviti agama di masjid dan surau ditangguhkan melibatkan sebanyak 2450 masjid, surau solat Jumaat dan surau biasa bermula 14 hingga 27 Oktober 2020.

Walaubagaimanapun, bagi tujuan pengimarahan, azan dibenarkan dikumandangkan pada setiap waktu dan solat fardhu berjemaah dibenarkan dengan tidak melebihi 6 orang jemaah termasuk muazzin dan imam. - DagangNews.com