Pusat Sehenti Buluh dibangunkan di Tadom Hill Resort galakkan industri buluh - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Pusat Sehenti Buluh dibangunkan di Tadom Hill Resort galakkan industri buluh - Zuraida

Datuk Zuraida Kamaruddin (dua dari kanan) mendengar penerangan kaedah penggunaan buluh sebagai bahan binaan.

PUTRAJAYA 19 Feb - Pusat Sehenti Buluh atau Bamboo One-Stop Centre bakal dibangunkan di Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. di Banting, Selangor yang akan berperanan sebagai pusat rujukan setempat industri buluh bagi menggalakkan pembangunan industri buluh negara.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pusat buluh yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih ramai usahawan buluh Malaysia di sepanjang rantaian nilai industri buluh.

 

Di samping itu ujar beliau, pusat rujukan ini akan berperanan sebagai pusat informasi setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh di Malaysia.

 

Menurutnya, usaha ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan dalam usaha mentransformasi industri buluh bagi peralihan struktur industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi dan lestari, sebagai antara fokus dalam RMK-12.

 

''Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 70 spesies buluh dimana 45 daripada spesies ini merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan.

 

''Sehingga kini, terdapat seramai 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh serta kraftangan,'' katanya.

 

Beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Bamboo One-Stop Centre di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) serta pihak swasta iaitu Tadom Hill Resort Sdn. Bhd.

 

 

zuraida

 

 

Zuraida berkata, kementerian melalui MTIB dan MTC akan meneruskan usaha memperkasa pembangunan industri buluh Negara dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif.

 

''Kementerian yakin dengan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan dan seterusnya menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara,'' katanya.

 

Menurut Zuraida, Tadom Hill Resort merupakan sebuah pusat penginapan ekopelancongan berkeluasan 45 ekar bertemakan taman buluh yang unik serta dikelilingi kampung Orang Asal dari Suku Temuan.

 

 

tadom
Resort Tadom Hill yang dibina menggunakan buluh.

 

 

Beliau berkata, lokasinya yang strategik merupakan satu kelebihan dan kemudahan bagi menyambut kedatangan pengunjung dalam dan luar negara.

 

Selain ekopelancongan ujar beliau, Tadom Hill juga telah mengambil langkah proaktif menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char). - DagangNews.com