Putrajaya dan Kerajaan Negeri perlu bersepakat selesai isu rumah mampu milik – REHDA | DagangNews Skip to main content

Putrajaya dan Kerajaan Negeri perlu bersepakat selesai isu rumah mampu milik – REHDA

Kerajaan Pusat menetapkan dasar perumahan negara, tetapi pelaksanaan kerajaan negeri.
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 15 Mac –  Putrajaya dan kerajaan negeri harus mencari kata sepakat dalam menyelesaikan isu penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat, terutamanya apabila kerajaan Pusat berkuasa dalam menetapkan dasar perumahan negara, tetapi kuasa pelaksanaan polisi adalah hak kerajaan negeri.

 

Pemangku presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk NK Tong berkata, pemain industri menyambut baik setiap inisiatif yang diambil kerajaan bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah kerana ia memberikan manfaat kepada rakyat.

 

"Bagaimanapun, terdapat pelbagai agensi kerajaan yang terlibat di dalam proses ini, seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan sebagainya. Ini menjadi cabaran kepada kerajaan buat sekian lamanya.

 

"Kerajaan Pusat menggubal dasar tetapi kerajaan negeri berkuasa dalam membuat keputusan, dan akhirnya, kerajaan negeri mempunyai kuasa muktamad kerana tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Inilah cabaran utama," ujarnya.

 

Beliau berkata selepas sedang media tinjauan industri hartanah bagi setengah tahun kedua 2021 dan taklimat media tinjauan pasaran 2022 pada Selasa.

 

Tong berkata, beliau berharap nanti akan ada penjajaran antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dengan tumpuan diberikan kepada perumahan rakyat.

 

"Jika mereka boleh berbuat demikian, itu akan memberi ruang kepada pemaju hartanah untuk menumpukan pada menyediakan rumah untuk golongan M40," katanya lagi.


 

Datuk NK Tong
                                                 Datuk NK Tong

 


Mengulas mengenai subsidi silang, Tong berkata, sistem subsidi silang yang diamalkan di Malaysia adalah luar dari kebiasaan yang diamalkan di seluruh dunia.

 

"Tanpa subsidi silang, kita akan melihat harga rumah, harga rumah median turun dan juga mungkin sebahagian daripada lebihan hartanah akan berkurangan kerana kami mampu membina rumah pada kadar yang berpatutan," katanya lagi.

 

Konsep subsidi silang memerlukan kerajaan negeri menyediakan tanah secara percuma dan mengambil potongan daripada apa-apa keuntungan yang diperoleh, manakala kerajaan Persekutuan akan ditugaskan untuk mendorong institusi kewangan untuk memberikan pinjaman 100% kepada pembeli rumah yang tidak dapat membuat bayaran muka 10% seperti biasa.

 

Tong menjelaskan bahawa pada ketika ini, pemaju hartanah bergantung kepada sasaran kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik, tetapi pada masa yang sama, bergantung kepada pemaju perumahan swasta untuk mencapai sasaran tersebut.


 

PM

 


Sementara itu, tinjauan Rehda mendapati 77% pemaju dengan pelancaran hartanah masa depan menjangkakan prestasi jualan bagi separuh tahun kedua 2022 berada di bawah 50%.

 

Bagi penjualan rumah, sebanyak 5,303 unit terjual berbanding 10,665 unit dilancarkan pada setengah tahun kedua 2021.

 

Jumlah ini adalah lebih baik berbanding setengah tahun pertama 2021, di mana hanya 4,560 unit terjual berbanding 11,601 dilancarkan. – DagangNews.com