QL Resources cadang naikkan harga bagi kurangkan kesan kos input tinggi - TA Securities | DagangNews Skip to main content

QL Resources cadang naikkan harga bagi kurangkan kesan kos input tinggi - TA Securities

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - QL Resources Berhad merancang untuk menaikkan harga produknya bagi mengurangkan kesan kos input yang tinggi dalam usaha meningkatkan margin kumpulan pada suku akan datang.

 

TA Securities Research berkata, hasil segmen pembuatan produk marin kumpulan merosot 7% pada FY22 disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah untuk semua aktiviti menyebabkan berlakunya tekanan margin keuntungan akibat kos input yang tinggi.

 

"QL Resources berhasrat untuk melaksanakan pelarasan harga bagi mengurangkan kenaikan kos input yang dijangka membantu dalam meningkatkan margin pada suku akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, permintaan untuk produk berasaskan surimi QL Resources dijangka bertambah baik pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022 (1QFY23), disebabkan gangguan bekalan dari India, Vietnam dan Rusia. 

 

“Dari segi pertumbuhan, kilang produk beku berasaskan surimi beku QL Resources di Surabaya, dengan kapasiti 12,000 tan, masih dalam pembinaan. Kumpulan itu juga merancang untuk meningkatkan pengeluaran akuakultur daripada 2,000 tan kepada 6,000 tan dalam tempoh empat tahun akan datang," katanya.

 

Perniagaan syarikat itu terdiri daripada ternakan bersepadu (ILF) yang menyumbang sebahagian besar pendapatan kumpulan, diikuti MPM, minyak sawit dan tenaga bersih serta rangkaian kedai serbaneka.

 

Firma itu berkata, pelaksanaan harga siling dan larangan eksport ayam daging tidak memberi kesan kepada QL Resources kerana kumpulan itu tidak mempunyai operasi ayam daging di Semenanjung Malaysia.

 

"Pada 1QFY23 pertanian lapis di Semenanjung Malaysia terus menyaksikan pemulihan dalam permintaan dalam keadaan bekalan yang terhad,” katanya.

 

Firma itu berkata, pasaran Indonesia dijangka pulih pada kadar yang lebih perlahan, manakala harga telur di Vietnam dijangka kekal tinggi kerana bekalan belum pulih sepenuhnya.

 

"Pasaran Indonesia dan Vietnam akan kekal sebagai tumpuan pengembangan untuk kumpulan itu kerana penggunaan telur per kapita setahun [di kedua-dua negara] masih kurang daripada separuh daripada di Malaysia," katanya.

 

Bagaimanapun dengan harga komoditi global yang bertambah baik, firma itu menjangkakan tekanan margin keuntungan dihadapi kumpulan itu akan bertambah baik bermula 3QFY23.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap kumpulan itu dengan harga yang lebih rendah iaitu RM5.90 sesaham. - DagangNews.com