Qoala Malaysia, Lonpac Insurance jalin kerjasama tawar perlindungan insurans kenderaan | DagangNews Skip to main content

Qoala Malaysia, Lonpac Insurance jalin kerjasama tawar perlindungan insurans kenderaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai - Qoala Technology Sdn. Bhd. (Qoala Malaysia) mengembangkan senarai rakan kongsi insuransnya dengan penyertaan syarikat insurans terbaharu, Lonpac Insurance Bhd. (Lonpac Insurance) dalam menyediakan perlindungan insurans kenderaan kepada orang ramai.

 

Ketua Aplikasi Qoala, Akash Sharma berkata, pihaknya teruja untuk memiliki Insurans Lonpac bersama mereka dalam memperkasa dan membolehkan orang ramai memiliki perlindungan tersebut.

 

"Pelanggan kini akan mempunyai pilihan yang lebih besar dalam memilih polisi yang paling sesuai dengan keperluan mereka, mengukuhkan Qoala sebagai pasaran insurans yang mudah, telus dan mampu milik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Perniagaan Digital Lonpac Insurance, Ernie Bak pula berkata, perkongsian itu adalah langkah strategik dalam memenuhi keperluan dan keinginan pelanggan melalui platform e-dagang Qoala. 

 

"Kami percaya perkongsian ini juga akan membantu kami menerokai pasaran baharu dan mempelbagaikan aliran hasil kami," katanya.

 

Qoala Malaysia juga telah menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam tempoh enam bulan lalu, dicerminkan melalui pengembangan penawaran produknya dan bilangan rakan kongsi insurans yang menyertainya, mengakibatkan peningkatan jualan 3 kali ganda.


 
Sehingga kini, Qoala Malaysia mempunyai enam rakan kongsi insurans yang meliputi motor, harta benda, kemalangan diri dan perjalanan. 

 

Antaranya ialah AXA Affin General Insurance, Etiqa General Insurance & Takaful, Lonpac Insurance, Takaful Ikhlas, Tune Protect dan Zurich General Insurance & Takaful. - DagangNews.com