Skip to main content

Radiant Globaltech sasar untuk berkembang dalam sektor F&B, peruncitan

KUALA LUMPUR 24 Jun - Radiant Globaltech Bhd. optimis untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dan jualan penyelesaian pendigitalan kepada sektor peruncitan, perindustrian dan makanan & minuman (F&B) untuk mendapat manfaat daripada permintaan kukuh bagi penggunaan teknologi di Malaysia dan rantau ini.

 

Naib Pengerusi dan Pengarah Kanan Eksekutifnya, Paul Yap Ban Foo berkata, penyelesaian pendigitalan adalah lebih penting hari ini, kerana perniagaan semakin menggunakan teknologi untuk menyelesaikan cabaran operasi dan meningkatkan daya tahan.

 

Katanya, cabaran yang dihadapi perniagaan termasuklah kekurangan tenaga kerja dan keperluan penyelesaian yang lebih maju untuk menguruskan peningkatan bilangan pembekal dan inventori.

 

"Kami berharap dapat meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan pelbagai operasi perniagaan, dan akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia penyelesaian teknologi bersepadu pilihan di Asia Tenggara. 

 

"Di samping itu, kami juga secara aktif mengembangkan pangkalan pelanggan kami walaupun dalam persekitaran pandemik yang mencabar, dan dengan sentimen pelaburan yang semakin pulih, kami yakin akan momentum pertumbuhan yang lebih kukuh pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan selepas menyuarat agung tahunan (AGM) ke-19 hari ini. 

 

Pelanggan runcit kumpulan termasuk pasar raya besar utama, pasar raya, kedai serbaneka, gedung serbaneka dan farmasi, manakala pelanggan industrinya termasuk pemain barangan pengguna (FMCG), syarikat pembuatan dan lain-lain. 

 

Selain itu, pelanggan F&B kumpulan terdiri daripada pelbagai jenis operasi F&B, seperti restoran separa dan perkhidmatan penuh, rangkaian dan francais, serta kafe dan kiosk.

 

Apabila sekatan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ditarik balik, kumpulan menyaksikan peningkatan aktiviti merentasi pelbagai sektor di Malaysia, dan dalam pasaran serantaunya di Thailand, Vietnam dan Kemboja pada separuh pertama 2022. 

 

Kumpulan juga menerima semakin banyak pertanyaan dan pesanan untuk penyelesaian pendigitalannya seperti sistem Point of Sales (POS), penyelesaian pengurusan mudah alih dan berasaskan awan serta sistem pengurusan gudang.

 

Menurut Ban Foo, pertumbuhan kumpulan pada masa depan akan disumbangkan menerusi pelbagai saluran termasuk perkakasan, penyelesaian perisian dan perkhidmatan sokongan.

 

"Penawaran bersepadu memberi kami kelebihan daya saing di Malaysia dan di rantau ini, kerana kami kekal tangkas dalam memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

 

"Ini termasuk menyediakan pelbagai pilihan perkakasan untuk menyokong pengembangan pelanggan kami, dan fleksibiliti dalam menerima pakai penyelesaian perisian atau langganan berasaskan awan," katanya. - DagangNews.com