Rafiza Ghazali letak jawatan CEO Cradle | DagangNews Skip to main content

Rafiza Ghazali letak jawatan CEO Cradle

Rafiza Ghazali
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Barisan Lembaga Pengarah Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) mengumumkan bahawa Rafiza Ghazali akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuat kuasa 31 Mei 2022. 

 

Sementara itu, pihak Lembaga Pengarah telah melantik Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke sebagai Pemangku. Pelantikan itu berkuat kuasa 1 Jun 2022 sehingga penggantian tetap disahkan.

 

Rafiza telah memainkan peranan penting dalam meluaskan mandat bagi Cradle yang telah melangkau sekadar pemberian geran, kepada peranan terkini sebagai peneraju ekosistem start-up melalui Strategi MYStartup. 

 

Sepanjang perkhidmatannya, Cradle telah dilantik sebagai ‘focal point’ untuk Ekosistem Start-up Malaysia dan sebagai agensi penyelaras untuk Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia 2021-2030 (SUPER).

 

Dengan sokongan Kementerian Kewangan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pihak Lembaga Pengarah kini menjalankan proses semakan dan penilaian yang teliti untuk mengenalpasti pengganti yang terbaik bagi Rafiza. 

 

Pelantikan baharu akan diumumkan setelah keputusan dan kelulusan yang sewajarnya telah diperolehi.

 

Pengerusi Cradle, Datuk Yvonne Chia berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Rafiza telah bekerja dengan efektif dengan semua pemegang berkepentingan utama dan menunjukkan keupayaannya dalam meletakkan Cradle untuk memainkan peranan kepimpinan dalam Ekosistem Start-up Malaysia. 

 

 

cradle
                             Norman Matthieu Vanhaecke

 

 

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Rafiza di atas sumbangan beliau kepada Cradle dan komuniti start-up. 

 

"Di atas kapasiti individu, Rafiza juga telah menetapkan tanda aras bagi penyertaan wanita memegang jawatan kanan dalam arena digital dan start-up. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Rafiza dalam perancangan masa hadapan beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

TERBAHARU: KAF Investment Bank lantik Rafiza Ghazali sebagai CEO bank Islam digitalnya

 

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah akan terus bekerjasama rapat dengan Norman dan Pengurusan Kanan di Cradle untuk memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan lancar. - DagangNews.com