Raih kontrak baharu RM42 bilion, mampu bantu Sapura Energy selesaikan hutang | DagangNews Skip to main content

Raih kontrak baharu RM42 bilion, mampu bantu Sapura Energy selesaikan hutang

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Sapura Energy Bhd. mampu meraih kembali kedudukan yang baik menerusi perolehan kontrak terbaharunya dalam tenaga diperbaharui (RE) bernilai AS$10 bilion (RM42 bilion) baru-baru ini. 

 

Semalam, Bloomberg melaporkan, syarikat minyak dan gas itu akan membekalkan tiang angin kepada pemaju ladang angin luar pesisir yang berpangkalan di Singapura, Enterprize Energy, yang telah menandatangani perjanjian untuk membina ladang angin di luar pantai Ireland untuk menggerakkan kemudahan hidrogen hijau.

 

Ladang angin 4GW Enterprize Energy akan membekalkan elektrik untuk pengeluaran dan penggunaan hidrogen di Ireland, atau untuk penukaran kepada ammonia yang boleh dieksport.

 

MIDF Research berkata, penglibatan Sapura Energy dalam RE dapat membantu syarikat mempamerkan prestasi yang lebih baik pada masa hadapan. 

 

Melihat kepada bentuk kerjasama dengan Sapura Energy, katanya, tidak mustahil terdapat kemungkinan tinggi bagi kumpulan untuk meraih lebih banyak kontrak berkaitan tiang angin. 

 

"Kami percaya, perjanjian dengan Enterprize Energy akan meningkatkan tahap penilaian Sapura Energy dan berkemungkinan dapat membantu kumpulan melunaskan hutang dan membayar pampasan terhadap kerugian yang dialaminya dalam tempoh yang lama. 

 

"Malah, kami melihat kumpulan akan mendapat kelebihan daripada harga minyak dan gas yang tinggi termasuk pemulihan permintaan secara berterusan pada suku keempat ini dan prestasi kewangan yang bertambah baik pada suku akan datang," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 


Baca : Sapura Energy bekalkan tiang angin kepada pemaju ladang angin luar pesisir Enterprize Energy

 

 

Selain kontrak berkenaan, Enterprize Energy turut membangunkan ladang angin luar pesisir 3.4GW di Vietnam dan sedang meneroka pasaran yang sama di Brazil.

 

Projek-projek tersebut dijangka membawa kepada kos hidrogen yang rendah di Eropah dan Jepun.

 

Oleh itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sapura Energy dengan harga sasaran tidak berubah pada 14 sen. 

 

"Namun, kami terus menilai Sapura Energy dengan pandangan berhati-hati dengan mengambil kira faktor risiko pandemik mungkin memburuk dalam masa terdekat yang akan menjejaskan operasi kumpulan. 

 

"Selain itu, kawalan sempadan yang ketat terhadap pekerja asing dan keadaan cuaca akhir tahun yang kurang menggalakkan juga mempengaruhi prospek kumpulan," katanya. 

 

Setakat 10.12 pagi ini, harga saham Sapura Energy susut 0.05 sen atau 5% kepada 9.5 sen dengan 1.49 juta saham diniagakan. - DagangNews.com