Rakyat gembira kerajaan dan pembangkang laksanakan `Keluarga Malaysia' (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Rakyat gembira kerajaan dan pembangkang laksanakan `Keluarga Malaysia' (SURAT PEMBACA)

Saudara Pengarang,

 

SECARA jujurnya, pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 setelah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah tampaknya berjaya menstabilkan suhu politik negara buat ketika ini.

 

Dalam tempoh 3 hari setelah pelantikan beliau di kerusi panas  itu, beliau telah mengambil pendekatan bijak dengan mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin politik pembangkang utama iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di Pejabat Perdana Menteri  pada 25 Ogos 2021.

 

Ini susulan daripada ruang dan peluang yang telah ditawarkan oleh Perdana Menteri kepada pihak pembangkang pada 23 Ogos yang lepas sejurus beliau menjawat jawatan ketua kerajaan untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

 

Sesungguhnya, tindakan bijak ini wajarlah dipandang tinggi oleh semua pihak di kala negara sedang berjuang dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang tampaknya seperti tiada berpenghujung.

 

Dengan berpaksikan kepada slogan ‘Keluarga Malaysia’, pertemuan tersebut yang julung-julung kali dilaksanakan oleh pihak kerajaan pimpinan beliau tampaknya mampu untuk menjanjikan suatu ‘keajaiban’ kelak.

 

Ini kerana pihak kerajaan telah menempa kejayaan sulung, dengan mengadakan sesi perbincangan secara bersemuka secara bersama dengan barisan kepimpinan Pakatan Harapan dalam usaha ke arah memastikan agar institusi Parlimen dapat berfungsi dengan baik dan berkesan sebagai sebuah entiti penggubal perundangan yang bersifat progresif dan konstruktif demi kemaslahatan rakyat; lebih-lebih lagi dalam situasi menempuh saat-saat getir ini.

 

Di pihak kepimpinan pembangkang pula, pujian turut wajar diberikan kerana berlapang dada untuk menerima pelawaan daripada pihak kerajaan dengan hati yang cukup terbuka.

 

Apa yang jelas, kedua-dua belah pihak sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang telah sanggup untuk mengenepikan segala dendam kesumat dan persengketaan selama ini untuk duduk semeja dan berunding dalam suasana yang begitu tenang dan muafakat. (Sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum kelak)

 

Segala isu remeh-temeh yang berkaitan dengan perbezaan ideologi politik bukan lagi menjadi keutamaan memandangkan bahawa kebajikan rakyat merupakan isu yang cukup signifikan untuk dibincangkan secara tuntas.

 

Sesungguhnya, inisiatif bijak yang digerakkan oleh Perdana Menteri ini  diharapkan dapat membuka lembaran baru menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 pada 31 Ogos 2021 ini, yang tentunya merupakan ‘hadiah terindah’ buat semua rakyat Malaysia dalam meraikan suasana politik yang lebih matang dan gemilang demi masa depan Malaysia yang terbilang.

 

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-64, Malaysia!

 

Mohd Ab Malek bin Md Shah
Pensyarah Kanan,
Jabatan Undang-Undang,
UiTM Cawangan Melaka