Rakyat Lembah Klang marah, bekalan air terputus lagi | DagangNews Skip to main content

Rakyat Lembah Klang marah, bekalan air terputus lagi

Gangguan bekalan air di Lembah Klang

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Bekalan air di kawasan Lembah Klang terus mengalami gangguan berturut-turut tanpa henti sejak minggu lalu sekali gus menimbulkan keresahan rakyat yang sudah pun terpaksa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terbaharu, Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pencemaran berkenaan telah dikesan pada pukul 2 pagi tadi.

"Bagi proses pencairan dan 'flushing' bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor, tindakan segera telah dilakukan dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari.

"Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor telah melapaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama," jelas Air Selangor.

Pencemaran di sungai berkenaan dikesan masih berada pada tahap 1 TON setakat 6.30 pagi tadi.

Tambah Air Selangor, pemulihan setakat pukul 2 pagi tadi untuk insiden henti tugas separa LRA SSP1 berikutan paip air terawat yang pecah telah mencapai kadar 80%.

Bagaimanapun, pemulihan dikawasan berkenaan tidak dapat dijalankan mengikut jadual yang telah diumumkan pada 18 Oktober lalu disebabkan insiden pencemaran bau melibatkan loji yang sama.

Mengulas berkaitan bantuan bekalan air, Air Selangor memberitahu, pihaknya menyediakan bekalan air dengan menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

"Pengguna yang memerlukan bekalan air untuk kecemasan seperti kematian boleh menghubungi 15300.

"Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID-19 dan PKPB ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas," tambah Air Selangor. - DagangNews.com