Skip to main content

Rakyat Malaysia kini terus galak `shopping online', kata VISA

 

KUALA LUMPUR 7 April – Hampir setahun berlalu sejak pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan perintah kawalan pergerakan ataupun sekatan pergerakan di Malaysia.  Sejak itu, individu dan perniagaan telah berusaha untuk mengadaptasi kepada sekatan dan garis panduan, dan menyesuaikannya kepada gaya hidup baru mereka.

 

Menurut kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa, daripada 10 orang rakyat Malaysia, lebih empat orang daripadanya membeli secara dalam talian melalui laman web ataupun aplikasi buat pertama kalinya, dan lebih daripada tiga orang daripada 10 yang membuat pembelian dalam talian secara pertama kali melalui saluran media sosial mereka.

 

Sebagai tambahan, 88% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan penghantaran ke rumah, dan daripada itu, sebanyak 36% adalah pengguna kali pertama.

 

Dengan berkurangnya membeli-belah di kedai fizikal, ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk membeli-belah di platform perdagangan digital.

 

Berdasarkan kajian itu, membeli-belah secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih dan laman web meningkat sebanyak 83% manakala membeli-belah melalui penghantaran terus dengan cara pesanan telefon meningkat sebanyak 65%. Rakyat Malaysia juga meningkatkan aktiviti membeli-belah di ruangan pasaran dalam talian (48%) dan perniagaan berasaskan rumah (44%).

 

Rakyat Malaysia juga telah membentuk tabiat yang mengehadkan pendedahan fizikal bagi melindungi diri daripada virus termasuklah memakai pelitup muka, mengelak ruangan sesak dan perkhidmatan perkongsian, membuat pembayaran secara digital, membeli-belah secara dalam talian serta menyokong perniagaan tempatan ataupun berasaskan rumah.

 

Ng Kong Boon, Pengurus Negara bagi Visa Malaysia berkata, “Keselamatan diri telah menjadi keutamaan bagi pengguna. Kami percaya bahawa ekoran daripada pandemik COVID-19, tabiat perdagangan digital dan pembayaran pengguna telah berubah dan akan menjadi norma baharu tidak lama lagi.

 

"Pandemik ini telah mempercepatkan negara ke arah masyarakat bebas tunai apabila kita menyaksikan lebih ramai pengguna baharu perdagangan digital dan lebih ramai rakyat Malaysia yang membawa kurang wang tunai dalam dompet mereka berbanding tempoh pra COVID-19.

 

"Berdasarkan data VisaNet, satu daripada lima pemegang kad aktif Visa yang tidak membuat pembelian e-dagangan pada 2019 membuat pembelian dalam talian kali pertama pada separuh pertama tahun lepas.”

 

“Selain itu, kajian ini juga menunjukkan bahawa pandemik itu menjana peningkatan 63% terhadap pembayaran kad tanpa sentuh dalam kalangan pengguna pembayaran tanpa sentuh. Bagi setiap 10 transaksi, pemegang kad Malaysia secara purata membuat sebanyak tujuh pembayaran tanpa sentuh.

 

"Apabila rakyat Malaysia semakin mementingkan kebersihan fizikal, pembayaran tanpa sentuh akan membolehkan mereka membuat transaksi dalam persekitaran yang lebih selamat dan tanpa halangan. Inilah peluang bagi negara ini meningkatkan lagi pembayaran bebas tunai merentasi lebih banyak kategori harian dalam tahun akan datang,” tambah Kong Boon.

 

Dengan harapan bahawa pandemik ini akan dapat dikawal, pengguna yang ghairah mengembara akan melihat perjalanan sebagai kategori utama yang mereka paling nantikan untuk berbelanja apabila pintu sempadan dibuka semula.

 

Kajian ini menunjukkan bahawa 43% rakyat Malaysia berharap untuk membuat perjalanan antarabangsa pasca COVID-19. Tiga puluh peratus daripada mereka juga mengharapkan untuk berbelanja ke atas perjalanan domestik dan 14% berharap untuk melakukan percutian di bandar mereka sendiri. - DagangNews.com