Rakyat Malaysia yakin kemahiran dimiliki bantu ‘bangkit semula’ pasca COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Rakyat Malaysia yakin kemahiran dimiliki bantu ‘bangkit semula’ pasca COVID-19

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sebanyak 29% rakyat Malaysia memperoleh pendapatan yang kurang dan berpendapat penularan COVID-19 akan terus menjejaskan pekerjaan mereka.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka yakin akan kemahiran dimiliki dan bersedia untuk bekerja lebih keras untuk merebut peluang pekerjaan pasca pandemik berkenaan. 

Menurut kaji selidik Standard Chartered, seramai 93% rakyat Malaysia berumur antara 55 hingga 64 tahun berasa paling lengkap dengan kemahiran dimiliki berbanding 77% golongan berumur antara 18 hingga 34 tahun.

“Secara global, golongan muda terutamanya yakin dengan kemahiran dimiliki dengan 80% daripada mereka berumur 18 hingga 34 tahun melihat kemahiran digital penting untuk berdepan cabaran pasca COVID-19,” kata Standard Chartered menerusi kenyataannya berhubung kaji selidik berkenaan.

 

Standard Chartered

 

Kaji selidik tersebut dijalankan ke atas 12,000 orang dewasa di 12 pasaran negara iaitu Hong Kong, Taiwan, China, Singapura, Indonesia, Malaysia, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kenya, Pakistan, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). 

Kajian itu dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan mengenai keadaan kewangan dan prospek pekerjaan mereka ketika masa mencabar dan bagaimana pihak bank dapat memainkan peranan dalam membantu menguruskan wang mereka. 

Kaji selidik berkenaan juga mendapati mereka yang bergraduasi ketika kemelesetan ekonomi mampu adaptasi cabaran berkenaan. 

“79% daripada rakyat Malaysia berumur 25 hingga 34 tahun di Malaysia akan mewujudkan pendapatan kedua berbanding 69% daripada mereka yang berumur lebih 55 tahun; dan responden berumur 18 hingga 44 tahun pula akan menambah baik kemahiran berbanding 63% daripada mereka yang berumur 55 tahun ke atas.

“Generasi mellanial dan Z pula cenderung untuk mewujudkan perniagaan baharu bagi berdepan dengan krisis itu.

“62% daripada rakyat Malaysia berumur 18 hingga 44 tahun sedang mempertimbang untuk memulakan perniagaan dalam tempoh enam bulan lagi berbanding 44% daripada mereka yang berumur 45 tahun ke atas,” tambah Standard Chartered.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar berkata, rakyat Malaysia secara umumnya terjejas terus akibat impak ekonomi ketika pandemik.

“Walaupun mereka menjangkakan pendapatan dan pengambilan pekerjaan akan terus terjejas, namun keyakinan mereka terhadap kemahiran dimiliki memberi harapan untuk terus pulih.

 

Abrar A. Anwar
Abrar A. Anwar

 

“Majoriti golongan muda Malaysia juga memberitahu bahawa mereka ingin memulakan perniagaan baharu dan mewujudkan pendapatan kedua selain mahu menguruskan kewangan dengan lebih baik. 

“Mereka perlu disokong. Pihak bank mempunyai peranan dengan membantu mereka menguruskan wang serta menyediakan peralatan bagi memudahkan perbankan untuk membantu mereka fokus proses pemulihan,” kata beliau menerusi kenyataan sama. 

Di seluruh dunia, tahap fleksibiliti, kemampuan menyesuaikan diri dan keusahawanan cenderung menurun mengikut usia responden, atau mungkin kerana generasi yang lebih tua lebih ramai yang telah mengukuh dalam kerjaya mereka.

Jurang lebih ketara apabila membandingkan pasaran maju dan membangun. Mereka di ekonomi global yang mampan bukan sahaja kurang yakin bahawa mereka mempunyai kemahiran digital, malah kurang bersedia untuk menyesuaikan diri dan mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan. - DagangNews.com