Rakyat mula sedar pentingnya ada dana kecemasan | DagangNews Skip to main content

Rakyat mula sedar pentingnya ada dana kecemasan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. -  Rakyat Malaysia telah mula memandang serius tentang penyimpanan wang untuk kecemasan semenjak pandemik melanda.

 

Menurut Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS 2021), 63% daripada 3,033 respondan memilih dana kecemasan sebagai sebab utama mereka menyimpan wang, diikuti pula dengan pencen (49%), melancong (40%) dan pembelian harta/rumah (38%). 

 

Pengasas Bersama dan Pengarah RinggitPlus, Hann Liew berkata hasil kajian itu juga mendapati semakin ramai rakyat Malaysia menyedari bahawa simpanan KWSP tidak mencukupi untuk persaraan mereka (15% berbanding 30% pada tahun 2020 yang menyatakan bahawa simpanan KWSP mereka cukup untuk persaraan). 

 

Namun katanya, hampir separuh daripada respondan  (45%) masih belum mula merancang untuk persaraan mereka.

 

"Melalui RMFLS tahun lalu, kita melihat sebilangan besar rakyat Malaysia mula menyedari kepentingan dana kecemasan. Tetapi, pandemik yang berpanjangan ini terus mempengaruhi ekonomi dan kewangan rakyat Malaysia setiap hari.

 

"Kesannya terhadap kebolehan masyarakat untuk menyimpan wang adalah jelas. Tetapi, simpanan wang bukanlah satu-satunya cara untuk menguruskan wang. RinggitPlus akan terus berusaha untuk mendidik dan memperkasa rakyat Malaysia untuk mengendalikan kewangan dengan lebih baik melalui cara holisitik yang juga merangkumi pengurusan hutang yang cekap dan cara lain untuk menggandakan wang mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

RMFLS 2021 mendapat 3,033 respon dari seluruh negara dan kaedah sampel berstrata telah dilakukan untuk mencapai 1,518 respon sampel yang mewakili populasi negara Malaysia.  

 

Tambah Hann 52% daripada responden berjaya menyimpan kurang daripada RM500 sebulan ataupun tidak dapat membuat sebarang simpanan, dan ianya merupakan satu peningkatan berbanding tahun lepas (49%). 

 

"Sementara itu, 21% pula bergantung harap sepenuhnya kepada gaji yang diberi pada hujung bulan. Ini kerana mereka tidak mampu menyimpan wang pada setiap bulan (peningkatan kecil daripada 19%). 

 

"Namun begitu, seramai 76% rakyat Malaysia beranggapan bahawa kewangan mereka adalah terkawal dan di antara mereka ini, 33% masih membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka," katanya. -DagangNews.com