Skip to main content

Rakyat perlu kuat hadapi tekanan COVID-19 untuk elak masalah mental (SURAT PEMBACA)

Gambar oleh Mika Baumeister - Unsplash

 

 

Saudara Pengarang,

 

DENGAN jumlah kes harian terkini telah mencecah 20,000 di Malaysia telah menyebabkan rakyat Malaysia berada dalam kebimbangan dan tekanan emosi.

 

Tekanan emosi masyarakat di Malaysia sudah bermula sejak Mac 2020 lagi. Tekanan emosi masyarakat ini sebenarnya disebabkan oleh banyak faktor seperti tekanan kewangan, tekanan kekeluargaan dan tekanan sosial akibat COVID-19 yang masih berpanjangan.

 

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, tekanan emosi ini merujuk kepada salah satu penyakit psikologi yang melibatkan kemurungan yang serius kepada individu lelaki mahupun wanita. Ia merangkumi rasa kesedihan, kepiluan, kecewa, atau putus harapan, hilang semangat, konflik, tekanan untuk meneruskan kehidupan  yang bermakna dan gembira.

 

Keadaan ini berlaku apabila terdapat perubahan kimia dalam otak iaitu berlaku ketidakseimbangan kimia neurotransmitter serotonin dan neropinephine. Jika pekara ini tidak diatasi atau dirawat segera ianya boleh membawa kepada masalah kesihatan mental.

 

Pertama, Tekanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia apabila ramai yang hilang punca pendapatan kerana diberhentikan kerja akibat COVID-19 menyebabkan golongan ini mengalami tekanan emosi.

 

Kehilangan pekerjaan akibat dari penutupan dan pengecilan beberapa sektor seperti perniagaan, pelancongan, perhotelan dan sektor-sektor lain di Malaysia.  

 

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan jumlah pengangguran di Malaysia sehingga Julai 2021 hampir mencecah  800,000 orang telah hilang pekerjaan akibat dari kesan COVID19. Manakala sebanyak 85 peratus kehilangan pekerjaan berlaku di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.

 

Golongan yang mengalami tekanan kewangan ini menyebabkan mereka gagal mengawal emosi dan bertindak dengan agresif. Hal ini di buktikan dengan kajian Persatuan Psikologi Amerika (APA) mendapati golongan masyarakat yang mempunyai tekanan yang tinggi mempunyai kecenderungan tinggi bertindak ganas dan agresif. Apabila hal ini berlaku ianya membawa kepada konflik rumahtangga yang mengakibatkan suami dan isteri bergaduh.

 

Menurut Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kaunseling, Universiti Utara Malaysia, Faezah Nayan, tekanan kewangan akan mencetuskan konflik dan pergaduhan antara suami dengan isteri disebabkan tekanan dan akhirnya menyebabkan wujudnya ketidaksefahaman dan membawa kepada penceraian. Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melaporkan pada tahun 2020, kes perceraian di Malaysia meningkat sebanyak 12 peratus kepada 56, 975 kes.

 

Kedua, tekanan emosi atas faktor kekeluargaan yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia sejak COVID-19 ini juga perlu dipandang serius. Selama ini tugas dan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak banyak dibantu oleh pengasuh, taska, tadika mahupun sekolah.

 

Namun sejak setahun ini tugas dan tanggungjawab ini dipikul sepenuhnya oleh ibu bapa. Ramai ibu bapa yang mudah tertekan atas tanggungjawab ini kerana pada masa yang sama mereka juga perlu bekerja dari rumah (BdR). Tanggungjawab ibu bapa menjadi lebih terbeban kerana perlu membantu anak-anak yang bersekolah menjalani PdPR.

 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata bebanan PdPR ini memang diakui lebih bertumpu kepada ibu bapa dan murid, berbanding guru dan pihak sekolah.

 

Selain itu, tekanan sosial juga boleh membawa tekanan emosi kepada masyarakat. Hampir dua tahun masyarakat banyak menghabiskan masa di rumah dan mereka tidak lagi dapat menjalani kehidupan mereka seperti biasa. Masyarakat tidak lagi bebas ke mana-mana seperti kebiasaannya.

 

Tekanan emosi seperti kerinduan, dan kesedihan jika tidak dikawal dengan baik boleh memudaratkan diri, Golongan ini akan hilang semangat, putus harapan atau pun kecewa akibat kerinduan dan kesedihan yang melampau menyebabkan hilang fokus terhadap kerja dan keluarga.

 

Jika masyarakat yang mengalami situasi ini berlarutan, mutu kerja dan produktiviti mereka pasti akan menurun dan merosot. Ada pula golongan masyarakat mengalami tekanan emosi apabila ahli keluarga terdekat pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19.

 

Ketiga-tiga tekanan ini membawa kepada tekanan emosi yang boleh membawa kepada masalah kesihatan kepada masyarakat.

 

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan pada tahun 2020, kesihatan mental menjadi masalah kesihatan kedua terbesar melanda masyarakat di negara ini selepas penyakit jantung. Setiap tiga daripada daripada 10 orang di negara ini yang berusia 16 tahun dan ke atas cenderung mendapat penyakit mental. Hal ini cukup membimbangkan jika pekara ini tidak dapat diatasi oleh masyarakat dalam sitausi COVID-19 yang masih berlarutan.

 

Walaupun kita faham fokus Kerajaan pada masa ini adalah mengurangkan jangkitan COVID-19, pemberian vaksin dan pemulihan ekonomi, kerajaan harus juga melestarikan National Strategic Action Plan for Mental Health 2019- 2025 dengan perancangan dan perlaksanaan program kesihatan bertujuan untuk memperbaiki kesihatan mental dan kesejahteraan seluruh rakyat terutamanya golongan yang mengalami tekanan emosi kesan COVID-19 ini.

 

Golongan masyarakat yang mengalami tekanan ini perlu mengimbangi emosi dengan baik supaya tidak membawa kepada masalah kesihatan mental. Perunding Psikiatri Sunway Medical Centre Velocity, Dr Lim Wai Jenn menyatakan komunikasi yang berkesan amat penting supaya golongan yang mengalami tekanan ini mengetahui masih ada yang mengambil berat tentang dirinya dan bersedia membantu mengurangkan masalah yang di alami. 

 

Bagi masyarakat muslim, kembalikan pergantungan hidup kita kepada Tuhan yang Esa dan berdoa agar kita mampu menghadapi setiap apa yang berlaku dengan jiwa dan hati yang tenang.

 

niknurshafika
Nik Nur Shafika Mustafa merupakan Pensyarah Kewangan & Pelaburan
Universiti Teknologi  MARA, Cawangan Johor