RAM Ratings beri penarafan AA3/stabil terhadap program sukuk Cahya Mata Sarawak | DagangNews Skip to main content

RAM Ratings beri penarafan AA3/stabil terhadap program sukuk Cahya Mata Sarawak

KUALA LUMPUR 13 Mei - Cahya Mata Sarawak Bhd. (CMS) telah menyelesaikan sepenuhnya Nota Jangka Sederhana Islam sebanyak RM500 juta dalam nilai nominal pada tarikh matang yang dijadualkan 5 Mei 2022, melalui dana dalaman.

 

Dengan penebusan itu, tiada Nota Jangka Sederhana Islam tertunggak di bawah program sukuknya sehingga RM2 bilion dalam nilai nominal, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

CMS berkata, RAM Rating Services Bhd. turut mengesahkan penarafan AA3 dengan prospek stabil bagi program sukuk kumpulan. 

 

Katanya, penarafan itu mencerminkan jangkaan RAM Ratings terhadap CMS sebagai pengeluar simen tunggal di Sarawak, dengan prestasi operasinya akan bertambah baik secara beransur-ansur kerana mendapat manfaat secara langsung daripada peningkatan dalam aktiviti pembinaan di negeri tersebut.

 

"Malah, agensi penarafan itu juga mendapati profil kewangan CMS terutama perlindungan hutang aliran tunainya, dijangka bertambah baik secara berterusan dalam tempoh 2 tahun serta-merta untuk kekal setara dengan penarafannya.

 

"Tambahan pula, ia menyatakan bahawa langkah pemulihan positif telah diambil oleh lembaga untuk mengukuhkan kawalan dalaman dan pengurusan risiko kumpulan," jelasnya.

 

Pada 5 Mei 2017, CMS melaksanakan terbitan pertama sukuk berjumlah RM500 juta untuk membiayai perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja.

 

"Melangkah ke hadapan, kumpulan akan meninjau untuk memanfaatkan lebih banyak dana berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk memadankan keperluan pembiayaan jangka panjangnya dengan projek berkaitan dan meningkatkan pendapatan merentasi perniagaan," katanya. - DagangNews.com