Ramai bumiputera ceburi industri vape, bernilai RM2.27 bilion | DagangNews Skip to main content

Ramai bumiputera ceburi industri vape, bernilai RM2.27 bilion

 

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Industri vape Malaysia yang bernilai RM2.27 bilion memerlukan kerajaan bertindak serta-merta dengan memperkenalkan peraturan sewajarnya supaya dapat memberi kesan pengganda positif terhadap ekonomi. 

 

Menurut Kajian Industri Vape Malaysia yang dijalankan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DVPM), terdapat lebih daripada 3,300 perniagaan yang terlibat secara langsung dalam industri vape, dengan tenaga kerja lebih daripada 15,000 orang. 

 

Malah, laporan itu juga menunjukkan pekerja dalam industri vape dianggarkan dibayar gaji mencecah RM450 juta secara keseluruhannya pada 2019 sahaja.

 

DPVM telah melantik Green Zebras, sebuah agensi penyelidikan pasaran, untuk mengendalikan kajian pertama ke atas industri vape di negara ini. 

 

Presiden DPVM, Syed Azaudin Syed Ahmad, data yang diperoleh jelas menunjukkan sektor ini berdaya maju dan semakin berkembang di Malaysia dan boleh memberikan sumbangan besar kepada ekonomi tempatan. 

 

Katanya, industri ini telah menggalakkan perkembangan usahawan tempatan di mana ramai terdiri daripada peniaga tempatan dan bumiputera.

 

"Di samping itu, industri vape Malaysia buat masa ini mempunyai ekosistem mapan yang terdiri daripada pengeluar, pengimport dan peruncit dan rangkaian pengedar dan logistik tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Antara penemuan utama  daripada kajian tersebut:

 

  • Tenaga kerja industri ini sebahagian besarnya daripada golongan dewasa muda yang berusia di bawah 30 tahun, dan kebanyakannya berbangsa Melayu

 

  • Terdapat 1.12 juta pengguna vape di Malaysia berasaskan data dari Kementerian Kesihatan Malaysia 

 

  • Profail etnik pengguna vape mencerminkan taburan kaum negara ini iaitu Melayu (70%), Cina (25%), India dan lain-lain (5%)

 

  • 94% daripada pengguna vape pernah merokok dan sebab utama mereka memilih vape adalah sebagai kaedah berhenti merokok (57%) dan kerana vape kurang mudarat berbanding merokok (56%)

 

  • Public Health England, sebuah agensi kesihatan kerajaan di United Kingdom telah menerbitkan bukti daripada pakar-pakar yang mendapati vape adalah 95% kurang mudarat berbanding merokok. Penemuan tersebut disokong oleh kebanyakan pakar kesihatan awam dan mereka yang menyokong usaha menghentikan tabiat merokok termasuk Kementerian Kesihatan Kanada dan New Zealand.

 

vape

 

Di Malaysia, kerajaan telah mengumumkan cukai eksais ke atas peranti vape dan e-cecair yang telah dilaksanakan sejak 1 Januari 2021. 

 

Bagaimanapun, DPVM percaya sistem percukaian ini perlu diperluas untuk merangkumi e-cecair mengandungi nikotin yang meliputi 97% daripada pasaran Malaysia untuk memberikan sumbangan berkesan kepada hasil kerajaan.

 

Mengulas lanjut, Syed Azaudin berkata, industri vape Malaysia mempunyai potensi besar yang boleh dimanfaatkan dengan peraturan praktikal dan komprehensif yang perlu merangkumi e-cecair bernikotin. 

 

Katanya, langkah ini akan merangsang pertumbuhan PKS yang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan
menjana hasil cukai bagi kerajaan.

 

"Walaupun sektor lain menghadapi cabaran untuk menarik pelaburan, Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor ini. 

 

“DPVM percaya sektor vape sudah bersedia dan mampu menarik FDI berkualiti berlandaskan ekosistem mapan yang boleh menarik pelaburan global dan syarikat multinasional," jelasnya. 

 

Saiz pasaran e-rokok dan vape global dijangka mencecah AS$67.31 bilion (RM272.54 bilion) menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan terkompaun tahunan bagi hasil sebanyak 23.8% dari 2020 hingga 2027, menurut satu kajian terbaharu yang dikendalikan oleh Grand View Research, Inc. 

 

Menurut beliau, DPVM telah melaksanakan kajian ini untuk memberikan asas kukuh berasaskan data kepada kerajaan untuk serta-merta memperkenalkan peraturan ke atas industri vape. - DagangNews.com