Ramai pengusaha hotel ambil pengecualian cukai | DagangNews Skip to main content

Ramai pengusaha hotel ambil pengecualian cukai

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Sebanyak RM1.37 bilion pengecualian cukai telah dimanfaatkan pengendali premis penginapan setakat 29 Januari lalu, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.   

 

Ketika membentangkan laporan Laksana kali ke-40 itu, beliau berkata, pengecualian cukai perkhidmatan di bawah inisiatif Penjana, bagi menyokong sektor pelancongan sehingga 30 Jun 2021. 

 

"Malah, jumlah ini juga meningkat sebanyak RM533.42 juta berbanding RM836.56 juta pada minggu
sebelumnya," katanya. 

 

Antara inisiatif sokongan sektor pelancongan termasuklah pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dan pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya bagi pelancong asing.

 

Beliau berkata, langkah kerajaan Malaysia dan Indonesia yang bersetuju mewujudkan gelembung perjalanan juga dilihat dapat merancakkan kembali industri pelancongan di antara kedua-dua negara. 

 

"Kementerian Kewangan amat mengalu-alukan inisiatif ini dan apabila digabungkan dengan peruntukan pembiayaan bagi industri pelancongan, saya berharap agar mereka yang terbabit di dalam industri ini mampu untuk cergas semula," katanya. 

 

Di bawah Penjana juga, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS Mikro yang masih terkesan dengan COVID-19.

 

Setakat 29 Januari, katanya, terdapat 573 permohonan bagi pembiayaan ini dan daripada jumlah ini sebanyak 277 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM55.4 juta. 

 

Bagi Pembiayaan PKS Penjana pula, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion yang mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman bank sebelum ini. 

 

Inisiatif ini menyaksikan sebanyak 6,507 permohonan diluluskan dengan pinjaman berjumlah RM1.23 bilion. - DagangNews.com